MOTM Penang FC bawa ‘kertas toyol' rahsia tepis jaringan pemain Sang Kenari


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

Antara aksi Shafiq Afifi ketika berdepan Kedah pada perlawanan pusingan pertama Piala FA 2023. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC menerima kejutan besar apabila tewas 3-4 kepada Penang FC di laman sendiri melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam aksi pusingan pertama Piała FA 2023 pada Rabu.

Kekalahan yang disaksikan oleh ribuan penyokong Sang Kenari di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu merupakan kekecewaan berganda selepas terlebih dulu tewas kepada PDRM FC 0-1 di saingan Liga Super 2023 pada Sabtu lalu.

Sebelum perlawanan Derbi Utara itu berakhir dengan sepakan penalti, ketua pausan Sang Kenari, Manuel Ott berjaya meletakkan KDA FC di hadapan 1-0 seawal minit kelapan sebelum Giovane Gomes membantu Harimau Kumbang menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-21 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua pula, penyerang import lawan, Soony Saad meletakkan Penang FC di depan pada minit ke 68 dan keputusan seri 2-2 terhasil apabila Ott menghadiahkan gol penyamaan pada minit ke 90.

Pada penentuan sepakan penalti, ketangkasan penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi berjaya menghalang sepakan Lee Tuck dan Bojan Ciger, sekali gus meranapkan impian skuad Hijau Kuning untuk melangkah ke pusingan kedua Piala FA.

Aksi cemerlang dari awal permainan sehingga ke ke penentuan sepakan penalti membuatkan Syafiq Afifi dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan (MOTM) dan mendapat pujian tidak henti-henti daripada penyokong.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 09.41.06

Shafiq Afifi dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan bagi aksi Derbi Utara itu. — Facebook/PenangFC

Rahsia ketangkasan pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun terbongkar apabila tular gambar sehelai kertas terselit pada sarung tangan penjaga gol yang digunakannya pada perlawanan itu.

Kertas tersebut dilihat mengandungi nama barisan pemain Kedah dan ada juga yang menganggap bahawa ia adalah alat bantuan Shafiq Afifi yang dibawanya selepas membuat beberapa kajian terhadap corak permainan Sang Kenari.

“Apa benda itu? Macam kertas toyol nak masuk peperiksaan sahaja,” komen penyokong, Pakcik Dwight.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 09.41.08-2

Kertas yang diselit di sarung tangannya.

“Itu maksudnya dia dah mengkaji dan belajar arah mana setiap pemain lawan akan buat tendangan. Bukan sekadar terjah lompat ikut tuah semata-mata. Sentiasa kaji dan bersedia dalam situasi tendangan penalti macam ini. Keeper luar negara pun ada buat macam ini rasanya,” kata seorang lagi penyokong Harimau Kumbang, Demi Pulau Pinang.

“Mereka dah kaji elok. Patutlah, apa-apapun hebar penjaga gol Penang malam ini,” kata penyokong KDA FC, Tif Atif yang turut memuji persediaan Syafiq Afifi.

Hasil kemenangan tersebut melayakkan skuad Harimau Kumbang untuk ke pusingan kedua Piala FA 2023 dan bakal bertemu satu lagi pasukan Liga Super iaitu Kuching City pada 15 April nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram