Gagal skor aksi Derbi Utara, penyerang import Kedah kena ‘warning’


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

Setakat ini, Lira hanya mencetak satu gol buat Kedah sepanjang empat perlawanan Liga Malaysia yang diadakan setakat ini. — Facebook/KDAFC

PERJALANAN Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi saingan Piala FA 2023 terhenti seawal pusingan pertama selepas tewas 3-4 dalam penentuan sepakan penalti di tangan Penang FC setelah terikat 2-2 dalam tempoh 120 minit.

Kekalahan itu lebih mengecewakan hati para penyokong apabila skuad Hijau Kuning tumbang buat kali kedua berturut-turut di Darul Aman yang merupakan stadium keramat bagi pasukan Kedah.

Pada Sabtu lalu di Alor Star, pasukan Sang Kenari tewas 0-1 kepada PDRM dalam perlawanan Liga Super 2023.

Penyokong Kedah, Budak Bendang berkata, keputusan tidak berpihak kepada pasukan Hijau Kuning itu perlu diterima dengan hati yang terbuka oleh penyokong Kedah terutamanya musim 2023 adalah permulaan buat pengendali baharu, Nafuzi Zain di bumi Darul Aman.

Oleh itu, katanya, para penyokong diharapkan untuk menerima segala keputusan dan memahami bahawa jurulatih muda itu dalam proses membuat çorak permainan yang baharu, sekali gus ia adalah proses pembelajaran untuk barisan pemain KDA FC.

Namun di sebalik itu, jelasnya, pasukan Kedah juga harus menyalahkan diri sendiri kerana tidak berhasil menterjemahkan peluang yang ada kepada jaringan dalam aksi menentang skuad Harimau Kumbang itu.

Permulaan yang baik apabila ketua pasukan Kedah, Manual Ott membuka jaringan dan meletakkan KDA FC di hadapan 1-0 seawal minit kelapan.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 11.43.25

Lira gagal memanfaatkan peluang ketika berada dalam kedudukan satu sama satu dengan Shafiq Afifi. — Facebook/KDAFC

Skuad Hijau Kuning terus melakukan percubaan dan pada minit ke-12 penyerang import, Willian Lira berada dalam kedudukan satu sama satu dengan Shafiq Afifi namun dia gagal memanfaatkan peluang.

Penang menyamakan kedudukan melalui jaringan dari penyerang import Penang, Giovane Gomes selepas tonggak pertahanan Kedah, Akmal Zahir melakukan sedikit kesilapan.

Bermula babak kedua, Kedah melancarkan serangan bertubi-tubi dalam perlawanan Derbi Utara itu namun masih buntu mencetak sebarang jaringan.

Akhirnya Penang mengejutkan Kedah untuk mendahului 1-2 hasil jaringan Hassan dari sudut sukar selepas menerima hantaran dari Asnan Ahmad.

Lira sekali lagi gagal menterjemahkan gol apabila berhadapan dengan penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi.

Usaha Sang Kenari akhirnya membuahkan hasil apabila Ott menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit ke-90 dan berhasil mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pada aksi masa tambahan, Kedah menguasai permainan dengan melakukan serangan bertali arus namun penyudah yang tumpul mengakibatkan penentuan sepakan penalti dibuat untuk memutuskan pasukan manakah layak ke pusingan kedua Piala FA 2023.

Keputusan akhir menyaksikan Kedah tewas 3-4 kepada Penang melalui penentuan sepakan penalti.

Justeru amaran Budak Bendang, dalam perlawanan itu, mata penyokong tertumpu kapada kegagalan Lira mencetak sebarang jaringan dan mereka berharap agar pemain import Brazil itu membuktikan ketajamannya sebagai seorang penyerang jika tidak mahu kedudukannya tergugat. — Majoriti

Budak Bendang, Penyokong Ketegaq Hijau Kuning.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram