SALAM perkenalan. Nukilan 'Laptop Cabuk' menemui pembaca buat kali pertama. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama merai dan memeriahkan Liga Malaysia musim 2023.
KELIBATNYA selaku seorang berperawakan tegas meneriakkan arahan kepada pemain-pemain dari tepi padang, sudah menjadi tatapan biasa warga bola sepak tempatan.
Bezanya kini, B. Sathianathan yang diserkap ‘headphone’ ketika ditemu bual di garis tepi padang sejurus usainya perlawanan Liga Malaysia menerusi siaran langsung saluran televisyen tempatan masih sesuatu yang baru.
Pernah dituduh “pembodek” gara-gara pujiannya terhadap fasiliti JDT sedangkan pasukan Selangor kendaliannya tidak pun dapat berlatih di Stadium Shah Alam sebelum bermulanya liga pada musim 2019, Sathia menegaskan perwatakannya hari ini tidak pernah berubah di sebalik apa pun yang dikatakan ramai.
B. Sathianathan pernah membimbing pasukan Selangor pada 2018.
“Saya sedang menikmati setiap detik tugas baru sebagai pengulas atau penganalisis di tepi padang. Saya langsung tidak rasakan sebarang tekanan.
“Keadaannya berbeza ketika menjadi jurulatih, rasa tertekan tidak dapat dielakkan dalam mencaturkan pasukan supaya sentiasa menang. Penyokong menekan jurulatih, netizen suka mencari salah jurulatih, pengurusan pun menuntut yang terbaik,” katanya dalam satu perbualan.
Acuan siapakah ‘pundit’ dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mahu diturutinya, Sathia barangkali mengejutkan dengan menolak untuk mencontohi Jamie Carragher yang berlidah laser, Gary Neville yang kuat mengkritik mahupun Roy Keane yang tiada belas-ihsan dalam komentar mereka.
Sebaliknya, kecenderungannya lebih kepada Graeme Sounness yang dianggapnya lebih profesional dan rasional ketika ketiga-tiga ‘pundit’ berkenaan membincangkan kemenangan 7-0 Liverpool ke atas Manchester United di Anfield menerusi siaran langsung Sky Sports, awal Isnin lalu.
“Ulasan Souness saya rasakan tepat, memberi gambaran sebenar, telus dan adil kepada penonton.
“Saya mahu bersikap yang sama. Sesetengah orang mungkin bersetuju dengan anda, sesetengah yang lain akan menyanggah. Tapi apa yang penting ialah bersikap jujur dalam ulasan atau analisis, dan jangan sekali-kali menurutkan emosi,” sambung Sathia yang telah tampil untuk tiga perlawanan, termasuk JDT-Terengganu dan Selangor-Sri Pahang, dari tepi padang.
Graeme Sounness menjadi rujukan B. Sathianathan untuk memberikan pandangan tentang perlawanan.
Berbanding rakan-rakan pundit yang lain, antaranya Datuk Zainal Abidin Hassan, Safee Sali dan Azman Adnan, keadaannya mungkin sedikit menyukarkan Sathia kerana dia juga adalah presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).
Mudah untuk sesiapa saja menuding jari kepadanya kemungkinan wujudnya konflik kepentingan kerana jurulatih yang mendapat teguran mahupun pujian dalam ulasannya, bernaung di bawah badan induk yang diterajuinya.
“Pada saya, tidak ada konflik kepentingan di sini. Tugas ‘pundit’ adalah menyatakan apa saja pada pengamatannya. Tiada masa untuk memikirkan seseorang jurulatih itu kawan saya atau bukan.
“Semua orang mempunyai pandangan masing-masing. ‘Pundit’ akan memberi pendapatnya berdasarkan apa yang berlaku dalam perlawanan... tiada benda lain.
“Mungkin ada jurulatih atau pegawai pasukan akan tersinggung dengan sesetengah komen. Apa pun, mereka kena terima ulasan ‘pundit’ yang hanya melakukan kerja mereka.
“Bagi saya sendiri, saya tidak akan menahan diri daripada menyatakan pandangan ikhlas saya. Bukan kerja saya untuk cuba ambil hati mereka,” tegasnya.
Seperkara lagi yang Sathia mahu warga bola sepak ketahui ialah ‘pundit’ tidak bersenang-lenang untuk menggalas tugas berkenaan melainkan – seperti pengulas siaran langsung perlawanan – sudah melakukan persiapan secukupnya mengenai kedua-dua pasukan berdasarkan perlawanan terdahulu masing-masing, baik melalui siaran ulangan atau rakaman Youtube.
Tambahan, jurulatih yang sudah banyak berperjalanan sepertinya – membimbing Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat julung-julung kalinya pada 2010, mengemudi ATM memenangi Liga Perdana 2012 di samping mara ke final Piala Malaysia 2012, mengangkat Felda United daripada pasukan bawahan ke tangga ketiga Liga Super selain tempohnya melatih Selangor dan Sarawak United – tidak pun cetek ilmu.
Masakan mungkin dia dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2010, 2012 dan 2017 jika tidak melengkapi diri dengan pengetahuan secukupnya.
Dua lagi aspek menjadi pegangannya. Selain sentiasa mengingatkan dirinya untuk tidak bersikap peribadi, Sathia sehingga kini terus berpantang daripada melayari media sosial.
“Saya tinggalkan bahagian itu (media sosial) kepada isteri. Dia yang akan berkongsi apa-apa jika dia rasakan apa yang saya patut tahu,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram