Tempoh pulih kecederaan pemain Selangor lebih pantas hasil kolaborasi FAS-BTL Industries


  • Podium
  • Ahad, 05 Mac 2023

Majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara BTL dan Selangor.

PERSATUAN BOLA SEPAK SELANGOR (FAS) mengorak langkah baharu apabila memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat pengeluar peralatan perubatan dan estetik dunia, BTL Industries Malaysia di Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Kolaborasi ini membolehkan pasukan Selangor FC mempunyai fasiliti perubatan bertaraf antarabangsa sekali gus mempercepatkan kadar kesembuhan pemain.

Menurut Pengarah BTL Malaysia, Mageswari Moganan, BTL akan menyediakan teknologi terkini buat pemain-pemain Selangor dan menyediakan peralatan perubatan moden kepada fasiliti pasukan.

"Kerjasama ini kerana BTL ada mesin-mesin fisioterapi untuk mengurangkan kesakitan, kecederaan bermain bola sepak.

"Mesin BTL menggunakan teknologi terkini dan ia akan mempercepatkan proses pemulihan pemain-pemain Selangor.

"Selangor juga mempunyai fasiliti perubatan yang dibuka untuk orang ramai, jadi mesin-mesin BTL ini juga boleh diguna pakai oleh orang awam," katanya ketika ditemui media selepas majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara BTL dan Selangor di Kawasan Perindustrian Temasya di Shah Alam, Ahad.

WhatsApp Image 2023-03-05 at 8.27.52 PM

Salah satu teknologi yang diperkenalkan BTL.

Tambahnya lagi, menerusi penggunaan mesin teknologi terkini ini, tempoh pemulihan pemain akan ditambah baik antara 30 hingga 40 peratus berbanding kebiasaan.

"Ia termasuk mempercepatkan pemulihan kecederaan serius seperti ACL.

"Selain teknologi dari BTL, proses rawatan pemulihan pemain juga akan dikendalikan pakar," ujarnya.

Majlis itu turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram