BARU sahaja Liga Super 2023 membuka tirai dan memasuki perlawanan ketiga, nampaknya sudah ada beberapa kontroversi menghiasi suasana liga domestik sehinggalah menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan.
Mana tidaknya, baru sahaja hari pertama perlawanan Liga Super sudah ada dua kad merah yang dilayangkan pengadil perlawanan.
Dua pasukan pertama menjadi mangsa layangan kad merah pengadil ialah Penang FC dan Perak FC sehingga memberi kesan kepada kedua-dua pasukan untuk mengutip tiga mata penuh.
Pengadil paling kontroversi musim 2022, Zulkarnain Zakaria atau lebih dikenali sebagai ‘ref botak’ antara watak yang melayangkan kad merah kepada pemain Perak FC.
Bukan sahaja layangan kad merah di awal saingan Liga Super menjadi perhatian penyokong bola sepak tempatan, malah ada beberapa isu yang terjadi sepanjang tiga perlawanan Liga Super yang baru membuka tirainya.
Ini merupakan empat kontroversi yang berlaku sepanjang aksi perlawanan Liga Super 2023 setakat ini:
Zulkarnain Zakaria kad merah kepada pemain Perak FC. — Youtube/Astro Arena
1. Enam kad merah dalam empat perlawanan Liga Super
Baru sahaja hari kedua Liga Super berlangsung sudah ada dua layangan kad merah yang dilayangkan pengadil perlawanan.
Insiden kad merah itu membabitkan Perak FC ketika berdepan Kedah Darul Aman FC, manakala satu lagi pasukan ialah Penang FC ketika berkunjung ke tempat lawan, KL City FC.
Pada minggu lalu, kem pasukan Kedah mencipta kontroversi apabila pemain, Manuel Ott dan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain dilayangkan kad merah sehingga menjejaskan tempo perlawanan.
Manakala Penang FC sekali lagi dilayangkan kad merah pada perlawanan ketiga liga dan pasukan tuan rumah, Kelantan FC turut dikenakan tindakan sama oleh pengadil perlawanan.
Menariknya pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria telah melayangkan tiga kad merah kepada pemain Perak FC, Penang FC dan Kelantan FC.
Pengadil perlawanan menafikan sepakan penalti buat pasukan Selangor. — Youtube/Astro Arena
2. Tiga kali kena tangan (Selangor FC vs Kelantan United)
'Tiga kali kena tangan', itulah luahan penyokong Selangor apabila pengadil perlawanan menafikan sepakan penalti buat pasukan tuan rumah.
Dalam perlawanan itu sebanyak tiga kali berturut-turut bola terkena tangan pemain Kelantan United dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, pasukan Selangor berjaya menemui jaringan selepas hasil tandukan oleh pemain import pertahanan, Yazan Al-Arab menerjah gawang gol lawan.
Walaupun liga baru sahaja ditransformasikan namun kontroversi melibatkan mutu pengadilan tidak menemui titik noktah.
Insiden yang berlaku di antara Nafuzi dan pegawai keempat perlawanan sehingga menyebabkannya dilayangkan kad merah.
3. Pergaduhan Nafuzi Zain dan pengadil keempat (Kedah DA FC vs PDRM FC)
Ketika kejadian, Pengendali Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain diperintah keluar padang ketika pasukan bimbingannya tewas 0-1 kepada PDRM pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu.
Nafuzi sebelum itu kelihatan seperti mencekik pegawai keempat kerana tidak berpuas hati terhadap pengadil perlawanan, Mohd. Azizan Saat Ariffin.
Tindakan yang dilakukan oleh Nafuzi kepada pengadil perlawanan keempat itu menjurus kepada layangan kad merah kepadanya.
Namun Nafuzi sudah membuat permohonan maaf kepada pihak pengurusan, pemain dan penyokong Sang Kenari diatas insiden kad merah yang diterimanya.
Menurut Nafuzi, faktor emosi yang tinggi sewaktu perlawanan itu berlangsung tanpa disedarinya telah 'mendorong' dia bertindak di luar kebiasaan melalui reaksinya terhadap pengadil keempat.
Muhammad Baqiuddin (Sri Pahang FC) dikasari Sharul Nazeem (Selangor FC) di dalam kotak penalti. — Youtube/Astro Arena
4. Penalti 'soft touch' (Selangor FC vs Sri Pahang FC)
Pencabar kejuaraan liga musim ini, Selangor FC tercicir dua mata apabila terikat 1-1 dengan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.
Sri Pahang beroleh sepakan penalti pada minit ke-71 apabila Muhammad Baqiuddin dikasari Sharul Nazeem di dalam kotak penalti.
Namun menurut penyokong bola sepak tempatan pengadil melakukan kesilapan apabila menghadiahkan penalti memandang sentuhan itu tidak terlalu keras.
Malah faktor cuaca yang ketika itu hujan renyai renyai bertukar lebat juga memainkan peranan keadaan terjahan Shahrul Nazeem ke atas Baqiuddin.
Kesempatan itu digunakan oleh Stefano Brundo untuk menjaringkan gol pertama meskipun penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid berjaya menepis sepakan penalti yang dilakukannya.
Tersentak dengan gol tersebut, Selangor berusaha mencari gol penyamaan yang hadir menerusi jaringan Brendan pada minit ke-88. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram