JUARA Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) berpesta gol apabila membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC) 7-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Isnin.
Harimau Selatan memulakan perlawanan itu dengan garang, apabila terus melancarkan serangan bertali arus sebelum penyerang JDT , Fernando Forestieri tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol pertama pada minit ke-21, hasil hantaran sepakan percuma Leandro Velázquez.
Perlawanan itu menyaksikan Forestieri turut menjaringkan satu lagi gol menerusi sepakan penalti manakala lima jaringan lain dijaringkan oleh Diogo, Arif Aiman, Corbin-Ong dan Endrick dos Santos.
Keputusan perlawanan nyata tidak mengembirakan penyokong skuad Jang apabila mereka tewas dengan jaringan besar di halaman sendiri.
Namun seorang penyokong Negeri Sembilan, @TheJangsN9 mendedahkan punca sebenar kekalahan pemain-pemain NSFC ke atas JDT.
Casagrande gagal membantu NSFC menjaringkan sebarang gol. — Facebook/NSFC
Menurut @TheJangsN9, dia mendedahkan pemain NSFC masih belum menerima gaji bulan dua meskipun sudah memasuki Mac.
"@nsfc1923, player tanya gaji bulan dua bila nak masuk.
"Gaji bulan Februari 2023 belum diterima, bonus perlawanan setakat ini juga tiada, kalau ikut law esok (Selasa) last day untuk bayar gaji," katanya di Twitter.
Pendedahan yang dilakukan oleh @TheJangsN9 itu mendapat pelbagai reaksi penyokong Negeri Sembilan di ruangan komen.
"Dah sangkut penyakit ini, NSFC sebelum ini tak pernah ada isu gaji tiba-tiba muncul pula pasal gaji musim ini," kata Encik Masbro.
"CEO buang ganti orang lain urus kelab, Negeri Sembilan itu nampak sahaja maju ke hadapan, tapi sebenarnya pihak pengurusan semua tin kosong," ujar Azizul Hakim.
"Tukarlah pengurusan, orang yang sama sahaja dari 2012 sampai sekarang tak ada perubahan," jelas Shafiq Mustafha.
Belum lagi sampai separuh perjalanan Liga Super sudah mula muncul kisah-kisah gaji tidak dibayar oleh pihak pengurusan.
Jika benar isu ini terjadi ia boleh menjejaskan moral pemain dengan keadaan ekonomi negara yang tidak stabil, harap pihak NSFC boleh menyelesaikan perkara ini dengan segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram