Adisak, Ivan Mamut mungkin digugurkan, TFC aktif pelan kecemasan tagih semula sentuhan Mintah


  • Podium
  • Isnin, 06 Mac 2023

Sentuhan Mintah masih didambakan bersama skuad utama Terengganu FC. — Facebook/Terengganu FC

KETUMPULAN jentera serangan Terengganu FC antara punca pasukan itu hanya memperoleh satu mata selepas seri tanpa jaringan ketika melayani kunjungan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Ahad.

Perkara itu diakui ketua jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner yang turut meluahkan kekecewaannya selepas pasukan Pantai Timur itu masih masih gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga aksi Liga Super.

"Saya tidak berpuas hati hanya mengutip satu mata dari perlawanan ini selepas banyak peluang terhidang malangnya tiada gol terhasil dalam 270 minit. Ia cukup merisaukan.

"Mereka (Adisak dan Mamut) juga tidak mendapat bantuan sehingga pertukaran posisi Sony (Norde) dan Syafik (Ismail), baru ada hantaran berkualiti dari sebelah sayap.

"Apa yang ditunjukkan ketika sesi latihan cukup baik tetapi tiba hari perlawanan, ia tidak seperti yang kami harapkan," katanya dalam sidang akhbar.

331129311_160987620137995_5445510589894175267_n

Adisak masih menunggu jaringan pertama Liga Super 2023. Facebook/Terengganu FC

Jurulatih berasal dari Croatia itu melihat barisan pertahanan Terengganu FC yang diketuai Sardor Kulmatov dan kapten pasukan, Shahrul Nizam Roshasni mempamerkan persembahan yang terbaik.

Namun, jentera tengah dan serangan dilihat masih belum mempamerkan aksi terbaik dan perlu lebih agresif dalam mengatur gerakan.

Jelasnya, pasukan itu juga gagal memanfaatkan situasi bola mati dengan 10 sepakan sudut dan sekurang-kurangnya tiga sepakan percuma dalam kedudukan terbaik yang dimiliki.

"Jentera kedua-dua bahagian sepatutnya lebih agresif dan menunjukkan naluri pemusnah. Malangnya ia tidak berlaku malam ini," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tomislav turut memberi bayangan dua pemain iaitu Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn bakal digugurkan bagi memberi peluang kepada penyerang simpanan, Jordan Mintah yang bersama Terengganu FC II untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya.

Keputusan seri 0-0 ketika bertemu KL City FC itu meletakkan pasukan naib juara Liga Super tahun lalu berkenaan di kedudukan tercorot dan menjadi satu-satunya pasukan tanpa sebarang gol setakat ini. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram