Bintang Liga M masih 'single & available', no.10 pasti buat ramai gigit jari


  • Podium
  • Isnin, 06 Mac 2023

Dari kiri: Fahmi Daniel, Stuart, Dominic dan Raja Imran Shah antara pemain muda yang memiliki ketampanan sebagai daya penarik peminat bola sepak wanita turun ke stadium.

PENYOKONG bola sepak tanah air tidak lagi berasa bosan apabila saingan Liga Super 2023 sudah membuka tirainya pada 24 Februari lalu dan ia akan menemani peminat sukan nombor satu di Malaysia sehingga 17 Disember 2023 nanti.

Selain menjanjikan persaingan lebih sengit dengan sebanyak 14 pasukan bertanding, penyokong juga rata-rata tidak sabar untuk melihat pemain kegemaran mereka sama baharu ataupun lama beraksi di padang dengan skil yang dimiliki.

Bukan hanya tidak sabar melihat ketangkasan di atas padang, saingan 2023 juga menjadi ruang bagi penyokong bola sepak terutamanya wanita untuk 'cuci mata' sambil melihat pemain Liga Malaysia (Liga M) menampilkan aksi cemerlang.

Memiliki rupa yang kacak dan tampan itu satu bonus untuk seorang pemain bola sepak di Malaysia namun bagi penyokong yang meminati mereka pasti berharap jika barisan bintang Liga M itu masih tidak mempunyai cinta hati atau pasangan.

Berikut Majoriti menyenaraikan 10 pemain kacak Liga M yang masih single dan available serta sering mendapat perhatian dalam kalangan penyokong.

WhatsApp Image 2023-03-04 at 04.23.25

Wilkin semakin mencuri perhatian selepas debut cemerlangnya bersama Harimau Malaya pada aksi Piala AFF 2022. — Facebook

1. Stuart Wilkin

Pemain yang semakin meningkat naik, Stuart Wilkin kini menjadi antara tonggak penting Sabah FC sejak musim lepas dan kini dengan statusnya sebagai pemain tetap lagi membuatkan penyokong meletakkan harapan besar kepadanya untuk saingan 2023.

Bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) II itu semakin mencuri perhatian selepas debut cemerlangnya bersama Harimau Malaya pada aksi Piala AFF 2022 yang mana dalam kejohanan tersebut dia menjaring tiga gol.

Wilkin yang berdarah kacukan England-Malaysia memiliki wajah 'jambu' seperti pelakon Korea Selatan yang menjadi sebab ramai penyokong wanita meminatinya dan mengikutinya di laman media sosial rasminya.

Menjengah di media sosialnya, pemain berusia 25 tahun dilihat tidak pernah berkongsi kehidupan peribadinya terutama berkaitan percintaannya, oleh itu tidak peliklah jika ramai kaum Hawa menyimpan angan-angan untuk menjadi teman hidup Wilkin.

WhatsApp Image 2023-03-04 at 04.23.25 (1)

Dominic mencuri hati penyokong wanita kerana wajah tampan dan senyuman manis yang menampakkan lesung pipit. — Facebook

2. Dominic Tan

Tonggak pertahanan The Rhinos, Dominic Tan menempah populariti semenjak menyertai Sabah FC pada musim 2022 dan sehingga kini pemain berusia 26 tahun itu masih menjadi pilihan kesebelasan utama pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Bukan itu sahaja, tanker Sabah FC itu juga sering mendapat panggilan ke kem kebangsaan dan baru- baru ini Dominic diberi tanggungjawab oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk mengemudi bek tengah pertahanan.

Bukan sahaja berjaya memikat hati jurulatih dengan kehebatannya, bekas pemain Liga Thailand, Police Tero itu juga mencuri hati penyokong wanita kerana wajah yang tampan dan bertubuh sasa.

Popularitinya dalam kalangan peminat wanita Sabah FC terbukti apabila tular video sekumpulan penyokong wanita The Rhinos menjerit-jerit namanya selepas perlawanan Liga Super.

Berita gembira buat penyokong wanita apabila pemain kelahiran Pulau Pinang itu masih berstatus bujang dan terbuka untuk mempunyai isteri pada masa depan.

WhatsApp Image 2023-03-04 at 04.23.26

Bukan sahaja tinggi lampai, Raja Imran juga memiliki rupa paras yang kacak. — Facebook

3. Raja Imran Shah Raja Amin

Meskipun belum terkenal seperti bintang bola sepak lain, pemain Perak FC, Raja Imran Shah mempunyai peminatnya tersendiri sejak menyertai skuad The Bos Gaurus pada musim ini.

Sebelum ini, tonggak pertahanan berusia 23 tahun itu merupakan tonggak Sarawak United FC (SUFC) dan sering mendapat kepercayaan penuh Ketua Jurulatih, S. Balachandran apabila mengumpul 1,245 minit permainan.

Tidak cukup menjadi kesebelasan utama di beberapa kelab termasuk Perak FC, Raja Imran Shah juga menjadi pilihan beberapa pereka fesyen tanah air untuk memperagakan koleksi pakaian mereka.

Menceburi bidang peragaan menjadi bukti bahawa pemain tinggi lampai itu memiliki rupa paras yang tampan dan sesuai menjadi peragawan selain daripada bergelar bintang bola sepak.

Usianya baru menjangkau 25 tahun pada tahun ini, Raja Imran Shah masih tidak mempunyai teman hidup dan mungkin masih mencari wanita yang sesuai dengan cita rasanya.

WhatsApp Image 2023-03-04 at 04.23.26 (1)

Siapa sangka, Luqman Hakim memenangi hati warganet di Korea Selatan dengan rupa parasnya yang menawan. — Facebook

4. Luqman Hakim Shamsuddin

Penyerang muda negara, Luqman Hakim tampil garang di Liga Iceland yang mana dia menjaringkan dua gol untuk kelab baharunya, Njardvik FC dalam aksi persahabatan.

Meskipun pemain kelahiran Kelantan itu tidak beraksi di Liga M kini namun Luqman sering dipujuk untuk bermain dalam saingan domestik bagi membantu dirinya mengumpul lebih banyak minit permainan.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu tetap memilih untuk beraksi dan mengambil pengalaman bermain di Eropah walaupun kini berstatus sebagai pemain pinjaman di Njardvik FC.

Bukan sahaja dalam misi meraih sokongan peminat di bumi Eropah, Luqman juga diam-diam sudah memenangi hati wanita di Korea Selatan dengan rupa parasnya yang menawan.

Perkara tersebut dapat dibuktikan apabila sebuah laporan dari Namuwiki iaitu sebuah wiki yang terkenal di Korea Selatan menyatakan bahawa netizen di negara republik itu menyifatkan Luqman seorang yang kacak.

Popularitinya di negara tersebut membuatkan penyokong wanita Liga M terpaksa bersaing untuk menambat hati Luqman dengan warganet wanita di Korea Selatan.

WhatsApp Image 2023-03-04 at 04.23.27

Kulit hitam manis Azam Azmi menjadikannya antara pemain yang mencuri perhatian peminat bola sepak wanita. — Facebook

5. Azam Azmi Murad

Tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad semakin menyinar bersama skuad Penyu sehingga ada penyokong berasakan dia bakal menjadi ketua pasukan suatu hari nanti.

Mana tidaknya, kepercayaan pihak pengurusan dan kejurulatihan Terengganu terhadap pemain kelahiran Penang FC itu semakin menyerlah apabila dia menandatangani kontrak lanjutan bersama skuad Penyu sehingga musim 2025.

Selain menjadi kegemaran barisan kejurulatihan, pemain berusia 22 tahun itu juga mempunyai peminatnya tersendiri terutama dalam kalangan wanita yang meminati jejaka berkulit hitam manis.

Malah ketika beraksi dalam skuad kebangsaan untuk kejohanan Piala AFF baru-baru ini, Azam Azmi menempah populariti dalam kalangan peminat bola Asia Tenggara selepas mereka bersolidariti terhadap nasibnya yang dikenakan kad merah dalam aksi kontroversi bersama pemain Vietnam, Doan Van Hau.

Menjengah laman media sosial Azam Azmi, dia banyak berkongsi mengenai kerjayanya dan perkara itu seperti memberi petunjuk bahawa pemain kebangsaan itu berstatus tidak berpunya.

1774752

Bukan sahaja berbakat, Feroz juga memiliki rupa paras yang tampan. — Facebook

6. Muhammad Feroz Baharuddin

Ubi muda yang semakin meningkat naik, Feroz semakin dikenali dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan selepas melakukan debut cemerlang bersama JDT di saingan Liga Super ketika berdepan Sri Pahang FC pada musim lepas.

Produk Akademi Kelab Bola Sepak JDT itu sebenarnya sudah membuat penampilan sulung dalam skuad senior ketika perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 antara JDT dan Sabah pada Oktober 2020.

Sejak naik pangkat dari skuad JDT II, Feroz terus diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan di bawah kendalian Estaban Solari sekali gus menyaksikan populariti pemain kelahiran Kota Tinggi, Johor itu meningkat setaraf Arif Aiman Hanapi.

Dengan bakat dan rupa paras tampan, Feroz berketinggian 1.75 meter menjadikannya pemain pakej lengkap untuk mengemudi bek pertahanan Harimau Selatan.

Bintang muda itu tentunya memiliki peminat tersendiri dan tidak mustahil sebahagiannya ialah wanita.

haqimi azim

Ketinggian dan ketegapan badan Haqimi Azim menjadikannya antara pemain muda yang popular di negara ini. Instagram

7. Haqimi Azim Rosli

Nama penyerang muda KL City FC, Haqimi Azim tidak lekang meniti di bibir peminat setiap kali turun beraksi dengan skuad The City Boys yang disertai sejak musim lalu.

Namun sahamnya semakin melonjak selepas melakukan debut bersama Harimau Malaya kendalian Pan-gon ketika aksi Piala AFF 2022 yang menyaksikan dia berjaya mencetak nama sebagai salah seorang penjaring ketika menentang Laos.

Pemain berketinggian 1.84 meter itu menjadi eye candy peminat bola sepak tanah air lantaran ketampanan dan fizikalnya yang disamakan dengan anak-anak legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, yang juga pengendali skuad Sri Pahang FC.

Prospek muda berusia 20 tahun itu dikatakan persis bintang skuad kebangsaan Singapura, Ikhsan Fandi kerana ketinggian dan ketegapan badannya.

Popularitinya dalam kalangan peminat wanita terbukti apabila ramai mengakui sanggup ke stadium semata-mata mahu melihat Haqimi Azim beraksi di atas padang.

budaktebingan_1593074927

Aiman Afif (kiri) dikatakan seiras Aedy Ashraf. Facebook

8. Aiman Afif Md Afizul

Mungkin nama Aiman Afif tidaklah segah bintang-bintang muda sebayanya, namun pemain berusia 22 tahun ini menempa populariti tersendiri.

Ini selepas pemain Kedah Darul Aman (KDA FC) itu mencuri perhatian apabila dikatakan seiras Aedy Ashraf, pelakon drama bersiri TV3 berjudul Budak Tebing.

Nama Aiman Afif semakin menjadi sebutan sejak sering diberi peluang menonjolkan bakat di skuad Sang Kenari bimbingan Nafuzi Zain.

Berasal dari Jitra, Kedah, bakat Aiman Afif dikesan ketika beraksi dalam pasukan Piala Presiden, sebelum dipanggil bekas jurulatih Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak untuk bermain dengan skuad senior.

Dia berjaya mempamerkan prestasi cemerlang ketika mewakili pasukan Malaysia dalam saingan kelayakan AFC bawah 19 tahun lalu dengan merekodkan tujuh gol dalam kejohanan itu.

323626773_171847315178408_5546607528211003587_n

Fahmi Daniel memiliki raut wajah yang 'cute'. Facebook

9. Fahmi Daniel Mohd Zaaim

Nama Fahmi Daniel mungkin kurang dikenali dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air namun bakat muda yang semakin meningkat naik itu ada aura menarik perhatian ramai.

Dengan lebih 92,000 pengikut di Instagram, Fahmi Daniel yang berkhidmat untuk skuad Perak FC musim ini memikat hati ramai bukan sahaja kerana kelincahan atas padang.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dalam diam diusik peminat wanita yang mengatakan dia memiliki raut wajah cute.

Di laman sosial itu, Fahmi Daniel banyak berkongi mengenai kerjayanya lagi-lagi pemain berusia 21 tahun itu memikul tugas besar di posisi pertahanan skuad Seladang.

Ia mungkin satu petunjuk bahawa bekas pemain Harimau Malaya bawah 19 tahun itu mahu memberi fokus penuh kepada karier bola sepak dan mengetepikan seketika soal percintaan.

htet aung

Htet Aung manis dan kacak menggayakan baju Melayu. — Instagram

10. Hein Htet Aung

Pemain import Selangor FC, Hein Htet Aung memiliki mencuri perhatian dalam kalangan peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong The Red Giants.

Sejak menyertai Selangor FC pada musim 2021, tonggak import Myanmar itu mendapat tempat di hati peminat bola sepak tempatan.

Ia bukan hanya kerana bintang muda berusia 21 tahun itu muncul pemain terbanyak melakukan bantuan gol buat Selangor FC dalam kancah Liga Super, malah dia dikatakan memiliki raut wajah manis.

Bahkan rupanya mirip orang Melayu menyebabkan dia begitu popular dalam kalangan penyokong tempatan.

Ia terbukti selepas Htet Aung berkongsikan sekeping foto berbaju Melayu yang menyebabkan ramai peminat wanita terpesona dengan ketampanannya itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram