‘Kelibat Wan Zack, padang katak, lemau 2nd half’ antara modal sembang sebelum sepak mula Piala FA Perak FC-Sri Pahang


  • Podium
  • Rabu, 08 Mac 2023

Sebahagian pemain Perak FC menjalani latihan sebelum sepak mula perlawanan pertama Piala FA 2023 menentang Sri Pahang FC, pada Rabu. — Facebook

PERJALANAN Liga Malaysia (Liga M) musim ini dihangatkan lagi dengan kempen Piala FA yang membuka tirai secara rasmi pada Rabu.

Pada aksi pembukaan itu, Sri Pahang FC akan bertemu Perak FC dengan pasukan The Bos Gaurus (TBG) menjadi tuan rumah dalam pusingan pertama perlawanan tersebut.

Perlawanan itu tentunya ditunggu-tunggu para penyokong kedua-dua pasukan kerana persembahan tersebut bakal menjadi penanda aras sebelum mereka bersaing di pentas Liga Super, 16 Mac depan.

Pelbagai topik menjadi modal bersembang kedua-dua pasukan dan antara yang menjadi perhatian ialah kelibat pemain otai, Wan Zack Haikal yang menjalani latihan bersama skuad utama Perak FC.

334577306_668147738647867_2021244033305381316_n

Wan Zack dirakam sedang menjalani latihan bersama skuad utama Perak FC. — Facebook/ Perak FC

Sebelum ini, bekas pemain kebangsaan itu membuat penampilan bersama Perak FC II bimbingan Yusri Che Lah dalam kejohanan Piala MFL, pada Jumaat lepas.

Para penyokong Perak FC membuat andaian ada kemungkinan jurulatih skuad senior TBG, Datuk Lim Teong Kim mahu menggunakan khidmat Wan Zack selepas pasukan tersebut masih gagal mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan Liga Super.

Tambahan lagi, pemain 'berharga' TBG, Luciano Guaycochea dikhabarkan masih belum mendapat kecergasan optimum untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Selain itu, para penyokong juga meminta para pemain dan barisan kejurulatihan mengetepikan masalah padang tidak rata dan memberi fokus kepada basic football.

Ini kerana anak-anak didik jurulatih berpengalaman itu dirasakan tidak memberi persembahan menarik ketika aksi menentang Kelantan United FC, baru-baru ini berbanding semasa menentang PDRM FC.

Dek kerana itu, Teong Kim menyalahkan permukaan padang Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, Kelantan yang tidak rata sehingga menyukarkan anak-anak buahnya mempamerkan corak permainan yang telah diterap ke dalam pasukan.

334690195_588465226506330_1746838677110999156_n

Kejayaan mengutip lima mata daripada tiga perlawanan Liga Super meningkatkan motivasi pemain Sri Pahang FC. — Facebook/ Sri Pahang FC

Justeru, apabila berpeluang beraksi di kandang sendiri, ditambah lagi dengan kehadiran penyokong, para pemain Perak FC harus memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya.

Di samping tumpuan terhadap pasukan Perak FC, penyokong Sri Pahang FC juga berharap skuad Tok Gajah kendalian legenda Singapura, Fandi Ahmad dapat menghadiahkan keputusan positif dalam perlawanan tersebut.

Mereka berharap para pemain dapat memperbaiki jentera serangan yang sedikit tumpul dan menambah kekebalan di benteng pertahanan.

Aspek kecergasan juga turut disentuh yang mana mereka berharap para pemain Sri Pahang FC dapat mempertingkatkan lagi stamina supaya tidak lemau apabila perlawanan memasuki babak kedua.

Para pemain Tok Gajah juga diharap dapat bermain sebagai satu pasukan dan tidak tamak dalam perebutan bola serta terus konsisten bagi membolehkan pasukan tersebut menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram