PERCATURAN Datuk Lim Teong Kim meletakkan penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh di benteng serangan ketika aksi menentang PDRM FC tempoh hari tidak menjadi apabila pasukan itu gagal mengutip mata pada perlawanan menentang Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, pada Sabtu.
Tonggak import Perak, Christian Obiozor yang mengetuai jentera serangan gagal menghadirkan jaringan sekali gus menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) terus kempunan mata penuh apabila sekadar seri 0-0 dengan pasukan Kijang Hijau.
Malah penyokong Perak kecewa dengan persembahan pemain import dari Nigeria itu dan lebih memuji permainan Hadi Fayyadh semasa penyerang tinggi lampai berkenaan diturunkan menentang PDRM FC tempoh hari.
Hadi Fayyadh menunjukkan peningkatan semasa Perak menentang skuad Sang Saka Biru apabila banyak membuat percubaan berbahaya di depan pintu gawang.
Begitupun aksi Obiozor tidak lama selepas dia dikeluarkan apabila perlawanan memasuki babak kedua yang menyaksikan pemain muda, Fahmi Daniel Muhd Zaim masuk sebagai gantian.
Hadi Fayyadh bermain di benteng pertahanan Perak FC ketika pertemuan dengan KUFC pada Sabtu. — Facebook Perak FC
Selain Obiozor, pemain import Korea Selatan, Seo Seonung juga tidak banyak memberikan impak kepada serangan Perak FC.
Skuad Kijang Hijau kendalian Tomas Trucha banyak melakukan asakan menerusi penyerang otai, Indra Putra Mahayuddin.
Malah, ketika perlawanan berbaki 10 minit, KUFC terus menggandakan serangan hingga memaksa penjaga gol Perak FC dipaksa bekerja keras untuk menyelamatkan gawang daripada bolos.
Perak akan menghadapi saingan lebih sukar untuk memburu mata selepas ini apabila perlu berdepan dengan pasukan lebih kuat seperti Sabah FC, Selangor FC, Johor Darul Takzim dan Kedah Darul Aman yang menghuni empat tangga teratas carta ketika ini.
Pertemuan dengan nama-nama besar itu sudah tentunya menyukarkan skuad Seladang mencuri sebarang mata dan natijahnya, Perak akan terus menjadi 'lauk' kepada pasukan lawan dan terperosok di kelompok tercorot liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram