'Mana Luciano Guaycochea?' Talian hayat terakhir Perak diseru harungi liga


  • Podium
  • Ahad, 05 Mac 2023

Guaycochea menjalani latihan baru-baru ini untuk mendapatkan semula kecergasan. — Facebook

PERAK FC memulakan kempen Liga Super musim ini dengan persembahan kurang menyakinkan selepas gagal mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan pertama.

Bermula dengan kekalahan 1-4 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), sebelum hanya hanya seri 0-0 dengan PDRM FC dan Kelantan United FC, skuad Sang Seladang memerlukan satu tonik untuk mengharungi liga hingga hujung musim.

Beberapa import yang direkrut pasukan The Bos Gaurus (TBG) musim ini iaitu pemain kelahiran Nigeria, Christian Obiozor dan Korea Selatan, Seo Seonung nampaknya seakan-akan kurang menyerlah selepas beraksi dalam tiga perlawanan pertama.

Ketika inilah, penyokong Perak FC mula mempersoalkan di manakah Luciano Guaycochea tatkala pasukan itu bergelut untuk bersaing dengan 13 pasukan lain dalam liga.

307153054_175539998359717_675320889500971327_n-1280x640

Aksi Guaycochea sewaktu beraksi dengan skuad TBG pada musim lepas. — Facebook

Pemain tengah menyerang dari Argentina itu antara dua import Perak FC yang disambung kontrak selama dua tahun selain Sunday Afolabi selepas Perak FC diambil alih XOX Berhad menerusi anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd pada Mei tahun lepas.

Ini sekali gus menyaksikan dua tonggak import tersebut kekal bersama skuad bimbingan Datuk Lim Teong Kim sehingga 2024.

Bagaimanapun tidak seperti Afolabi, Guaycochea tersisih dari perlawanan membabitkan Perak FC sejak September tahun lepas kerana dihimpit isu kecederaan.

Selepas lama tidak menjalani latihan, pemain berusia 1.78 meter membuat kemunculan selepas hadir berlatih baru-baru ini, yang sekali gus memberi bayangan dia sedang mendapatkan kecergasan semula untuk aksi akan datang.

1964980

Aksi Wan Zack ketika beraksi bersama skuad Perak FC II dalam saingan Piala MFL menentang Kuching City. — Facebook

Walaupun belum ada 'bunga-bunga' mengatakan dia sudah pulih sebenarnya, para penyokong berasakan Luciano merupakan talian hayat akhir buat Perak FC mengharungi cabaran sengit Liga Super musim ini.

Kehadiran pemain import veteran berusia 31 tahun itu ditagih untuk membimbing pasukan Sang Seladang yang dibarisi ramai pemain muda.

Untuk rekod, Guaycochea merupakan pemain kelab Deportivo Morón yang berpangkalan di Argentina dan Zulia FC (Venezuela).

Selain Guaycochea, Wan Zack Haikal juga diharap dapat bermain di skuad utama selepas bekas pemain kebangsaan itu membarisi skuad Perak FC II untuk kejohanan Piala MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram