PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe tampil mempertahankan pemain sayap sensasi, Faisal Halim yang masih memburu jaringan sulungnya bersama skuad Gergasi Merah dalam saingan Liga Super musim ini.
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu menyatakan bahawa dia berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemain berusia 25 tahun berkenaan yang disifatkan beraksi dengan baik dalam tiga perlawanan setakat ini.
Katanya, Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey, sedang dalam proses menyesuaikan diri, sekali gus memerlukan masa untuk kembali ke kemuncak prestasi.
"Kita tahu dia (Faisal) bermain begitu baik musim lepas dan dapat menjaringkan gol, tetapi kalau kita lihat memang dia masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.
"Walaupun tidak menjaringkan gol, tapi telah bantu pasukan berada pada satu tahap yang terbaik. Saya rasa pujian harus diberikan kepadanya kerana kualiti yang ada padanya,” katanya.
Kehadiran Faisal sedikit sebanyak meningkatkan kemampuan jentera serangan Selangor FC. — Facebook/Selangor FC
Selepas tiga perlawanan, Faisal yang sebelum ini beraksi bersama Terengganu FC, masih belum mencipta nama sebagai penjaring namun dia membalas kepercayaan apabila mencipta tiga bantuan gol dalam dua aksi pertama.
Musim 2022 menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu mengumpul keseluruhan 11 gol dalam kempen Liga Malaysia iaitu enam gol dalam saingan Liga Super, Piala FA (tiga) dan Piala Malaysia (dua).
Dia turut memiliki rekod memberangsangkan di pentas antarabangsa selepas menjaringkan keseluruhan sembilan gol bersama skuad kebangsaan dalam kesemua pertandingan tahun lepas.
Selangor FC setakat ini masih mengekalkalkan rekod tanpa kalah selepas melakar dua kemenangan masing-masing ke atas Kelantan United 1-0 dan Kuching City (5-0) serta seri 1-1 menentang Sri Pahang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram