SELEPAS tiga perlawanan Liga Super 2023, ramai pemain baharu yang mula menunjukkan kemampuan masing-masing bagi membantu pasukan yang diwakili.
Di samping import-import baharu, sebilangan pemain muda juga dilihat berjaya membuktikan nilai mereka dalam pasukan meskipun ada kesangsian terhadap mereka pada awalnya.
Perkara tersebut pastinya cukup menggembirakan penyokong bola sepak tanah air apabila kelab-kelab Liga Malaysia tidak perlu terlalu bergantung kepada sesiapa sahaja yang lebih berusia.
Malah, ia juga pastinya menghadirkan kelegaan buat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang masih mencari skuad terbaik bagi aksi Piala Asia 2023.
Walaupun pertandingan berkenaan akan berlangsung pada Januari akan datang, perancangan lebih rapi pastinya perlu dilakukan, lebih-lebih lagi selepas Harimau Malaya sudah lama tidak beraksi di pentas tersebut.
Skuad Harimau Malaya mempunyai kualiti untuk bersaing dalam aksi Piala Asia 2023.
Jadi, dalam usaha mencari formula terbaik, beberapa perlawanan persahabatan dirancang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdasarkan kalendar FIFA.
Berdasarkan pengumuman dibuat badan induk bola sepak tempatan itu, skuad kebangsaan bakal menerima kunjungan dua pasukan Asia, Turkmenistan dan Hong Kong.
Pertembungan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada penghujung Mac itu pastinya memberi ruang kepada Pan-gon untuk melakukan 'eksperimen' terhadap anak-anak buahnya.
Jadi, dengan senarai masih belum dikeluarkan FAM, terdapat tiga wajah baharu yang boleh dipanggil sempena aksi persahabatan itu nanti.
1. Feroz Baharuddin (JDT)
Limpahan bintang dalam skuad Johor Darul Takzim (JDT) bukanlah satu perkara yang baharu dengan ia merupakan salah satu resipi utama pasukan Selatan tanah air itu.
Ia dapat dibuktikan apabila mereka mempunyai peluang untuk melakukan penggiliran, lebih-lebih lagi dengan musim yang panjang perlu ditempuhi.
Ketika ini, antara pemain yang mendapat kelebihan daripada perancangan itu ialah pertahanan muda, Feroz Baharuddin dengan dia mula menerima kepercayaan barisan kejurulatihan.
Feroz layak diberikan penampilan pertama dalam skuad kebangsaan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Meskipun keputusan berkenaan menyaksikan bek kental, Shahrul Saad disisihkan, ia memberi peluang buat Pan-gon menyaksikan kemampuannya dalam tahap terbaik.
Ketenangan dalam melakukan hantaran dan kekentalan dalam menyekat pihak lawan wajar diberi pujian apabila skuad Harimau Selatan semakin sukar untuk ditembusi pihak lawan.
Setakat ini, Feroz masih kempunan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan, namun isu tersebut seakan-akan bakal diselesaikan ketika perlawanan persahabatan itu nanti.
2. Fazrul Amir Zaman (Kelantan FC)
Penantian Kelantan FC untuk mendapatkan kemenangan pertama dalam kempen Liga Super 2023 berakhir apabila mereka mudah menundukkan Penang FC 2-0.
Antara pemain yang mencuri tumpuan dalam aksi berkenaan adalah penyerang sayap berusia 23 tahun, Fazrul Amir Zaman dengan jaringan peribadi yang dicatatkan.
Di samping mendapatkan gol tersebut, kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang berada di atas padang cukup mencuri perhatian penyokong The Red Warriors (TRW).
Adakah Fazrul (kiri) layak untuk dibawa masuk ke dalam skuad kebangsaan? — Facebook/TRW Kelantan FC
Jadi, dengan skuad kebangsaan masih memerlukan dimensi berbeza, Pan-gon boleh memilih untuk memberi penampilan pertama buat pemain kelahiran Tanah Merah, Kelantan tersebut.
Persoalannya, dengan lambakan pilihan yang dimiliki barisan kejurulatihan Harimau Malaya, adakah jurulatih dari Korea Selatan itu akan menggunakan khidmatnya?
Selain itu, dengan kapten pasukan, Safawi Rasid semakin menunjukkan peningkatan dalam prestasinya kebelakangan ini, terdapat kesukaran buat Fazrul untuk dibawa ke dalam skuad kebangsaan.
3. Zikri Khalili (Selangor FC)
Musim lepas, ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe lebih gemar untuk menurunkan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia, Quentin Cheng sebagai pertahanan kanan.
Perkara tersebut menyaksikan dia diberikan kepercayaan buat barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk memanggilnya ke dalam skuad Piala AFF 2023.
Zikri menunjukkan peningkatan sejak diberikan peluang bersama kesebelasan utama Selangor FC. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, dengan kualitinya mula dipersoalkan sejak penghujung musim lepas, dia akhirnya digugurkan bagi memberi laluan kepada seorang lagi pemain muda, Ahmad Zikri Khalili.
Keputusan berkenaan seolah-olah membuahkan hasil apabila skuad Gergasi Merah semakin sukar untuk ditembusi selepas tiga perlawanan Liga Super.
Jadi, bagi terus memberi peluang buat Zikri berkembang, adalah wajar buat Pan-gon untuk memberikannya penampilan pertama dengan pasukan kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram