Aguero tidak mahu 'termakan' emosi ketika aksi berdepan Perak FC


  • Podium
  • Rabu, 08 Mac 2023

Aguero pernah menyertai skuad TBG untuk semusim secara pinjaman dari Sri Pahang FC. — Agensi

PERANCANG skuad Tok Gajah, Sergio Aguero pastinya teruja untuk berdepan pasukan lamanya, Perak FC dalam aksi pembukaan Piala FA 2023.

Pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium Ipoh, Perak pada Rabu itu semestinya dinantikan penyokong kedua-dua pasukan, termasuk Aguero selepas mencipta satu kenangan manis bersama The Bos Gaurus (TBG) satu ketika dahulu.

"Ia merupakan satu perlawanan yang cukup penting kerana formatnya adalah kalah mati. Pada saya, ia akan menyuntik motivasi berbeza.

"Dahulu Perak FC sudah memberi saya peluang dengan cukup baik dan saya sangat terhutang budi dengan rakan sepasukan, staf dan juga penyokong," katanya.

Pemain kelahiran Argentina itu pernah beraksi bersama skuad TBG untuk semusim pada 2021 ketika dia dipinjamkan dari Sri Pahang FC.

Ketika bersama pasukan berkenaan, Aguero berjaya mencipta nama dengan mendapatkan rentak dan suasana baharu apabila Perak FC berada dalam kancah Liga Perdana.

Sergio Aguero boleh dianggap sebagai antara tonggak Sri Pahang FC musim ini selepas menjaringkan satu gol dalam tiga penampilan Liga Super termasuk diberi kepercayaan untuk memakai lilitan tangan kapten.

"Pada saya, Perak FC beraksi dengan cukup baik ketika ini. Dalam beberapa perlawanan, nasib seperti tidak menyebelahi mereka, tetapi saya dapat mengenal pasti falsafah bola sepak yang diterapkan," katanya.

Musim ini Sri Pahang FC terpaksa menempuhi pusingan pertama Piala FA 2023 apabila menamatkan kempen musim lepas di tangga ketujuh sementara Perak FC turut berdepan cabaran sama apabila berada di tangga kesembilan Liga Perdana 2022. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram