PERTAHANAN kental Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic memaklumkan bahawa namanya antara empat pemain yang sedang menjalani proses naturalisasi selepas memenuhi syarat lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).
Menurut Argzim, selain dirinya, terdapat tiga orang lagi pemain termasuklah dua pemain KL City FC, Paulo Josue dan Romel Morales selain bintang Johor Darul Takzim, Endrick dos Santos yang melengkapkan proses naturalisasi masing-masing.
Katanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah memberi surat sokongan yang bakal menyaksikan dirinya boleh dinaturalisasikan sebagai pemain tempatan.
Argzim sudah lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia bersama skuad TFC. — Facebook
Pemain berusia 31 tahun itu berada pada proses terakhir bagi mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum bergelar rakyat Malaysia.
“Saya berada di sini lima tahun, berkahwin dengan warga tempatan dan mempunyai anak warganegara Malaysia.
"Pihak Terengganu sedang memastikan proses itu berlaku, saya tak pasti berapa lama lagi tapi saya jangka menjelang Disember tahun ini, proses naturalisasi akan selesai," katanya yang agak fasih berbahasa Melayu.
Liridon berkongsi pengalaman bermain untuk Harimau Malaya yang membuatkan Argzim teruja untuk turut mewakili negara. — Facebook
Menerusi rakaman temu bual bersama HarimauMalaya, pemain kelahiran Montenegro itu juga berbesar hati sekiranya dapat mewakili pasukan kebangsaan yang kini di bawah bimbingan Kim Pan-gon.
Rakan sepasukan baharu di TFC, Liridon Krasniqi ada berkongsi pengalaman bermain untuk Malaysia yang membuatkan Argzim teruja untuk turut mewakili negara.
“Liridon ada beritahu saya bahawa bermain untuk Malaysia adalah satu perasaan yang amat menakjubkan, walaupun beliau berasal dari Kosovo.
“Jika anda bermain untuk Malaysia, satu negara akan sokong anda, tetapi saya tahu ia tidak mudah kerana tekanan amat tinggi.
“Kalau main dengan baik, orang akan sanjung namun jika tak bagus, susah sikit. Banyak tekanan sebab daripada penyokong seluruh Malaysia, kalau tak perform, habislah,” katanya tersenyum sambil memberitahu, dia sedia menerima kritikan penyokong asalkan perkara itu dapat membantu memperbaiki persembahan ke arah lebih baik.
Lee Tuck antara tonggak naturalisasi mendapat pujian penyokong Harimau Malaya. — Facebook
Katanya lagi, pengambilan pemain-pemain naturalisasi adalah perkara yang baik dan boleh meningkatkan lagi tahap bola sepak di negara ini.
“Kita lihat Lee Tuck dan Sergio Aguero bermain dengan baik untuk Malaysia sebelum ini jadi ini memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan," ujarnya.
Sementara itu, Argzim berkata, jika terpilih sebagai pemain Harimau Malaya, dia mahu membantu memperkuatkan benteng pertahanan skuad kebangsaan.
"Saya harap dapat bantu di bahagian pertahanan sebab kita tahu pemain Malaysia tak berapa tinggi, jadi contohnya dalam situasi corner kick defending, saya boleh sebab ada kelebihan fizikal," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram