PENYERANG naturalisasi Sri Pahang, Sergio Aguero berazam untuk kembali ke tahap terbaik dalam kariernya selepas tidak beraksi selama semusim dalam pentas Liga Super pada 2022.
Menurutnya, usaha dan titik peluh yang dihasilkan sepanjang tempoh pramusim tidak akan mengecewakan harapannya, apatah lagi dengan kehadiran rakan sepasukan dalam skuad Tok Gajah.
"Setakat ini, persiapan pasukan berjalan dengan baik. Kami telah mula menjalani latihan sejak Disember dan beberapa perlawanan pramusim berdepan kelab-kelab Thailand dan percaya mampu menghasilkan permainan yang lebih baik bagi musim baharu," katanya kepada Stadium Astro.
Pada 2022, pemain berasal dari Argentina itu tidak dapat diturunkan beraksi selepas Sri Pahang FC berdepan isu untuk mendaftarkannya di samping seorang lagi bekas pemain import, Lee Tuck.
Namun, selepas berjaya mendapatkan status kerakyatan, Aguero akhirnya dibenarkan untuk menyarung jersi pasukan ketika berdepan Terengganu FC dalam aksi Piala Malaysia.
Dalam masa sama, pemain berusia 28 tahun itu juga berharap keputusan yang dicatatkan sepanjang kempen Liga Super 2022 dapat memberikan kegembiraan buat penyokong Tok Gajah.
"Dengan barisan skuad Sri Pahang bagi musim 2023, kami percaya mampu menghadirkan semula kegembiraan untuk penyokong.
Aguero dipanggil untuk menyertai kem Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF 2022. — Facebook/FAMalaysiaOfficial
"Saya terlepas keseluruhan musim lalu, namun kini sudah bersedia untuk kembali menghadirkan ke tahap terbaik dan mahu membuktikan saya masih lagi relevan di kancah Liga Malaysia," katanya.
Meskipun tidak berpeluang untuk membuktikan kemampuannya di atas padang, Aguero masih diberikan kepercayaan untuk bersama-sama skuad Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF Disember lalu.
Sri Pahang mempunyai peluang untuk kembali bangkit selepas selesai melakukan perubahan besar-besaran, termasuk melantik bekas pengendali skuad kebangsaan Singapura, Fandi Ahmad.
Bagi memperkukuhkan kualiti pemain pula, pihak pengurusan memilih untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain import, termasuk Lucas Silva dan Kpah Sherman yang dibawa masuk dari Penang FC dan Terengganu FC. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram