Kombinasi trio Sri Pahang buka ruang tembusi kubu Kelantan


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Meskipun cedera, Aguero (kiri) memberikan persembahan bertenaga termasuk menghasilkan satu jaringan bagi membantu Sri Pahang menang 4-1 ke atas Kelantan. — MFL

KEUPAYAAN Sri Pahang FC menguasai bahagian tengah dan hadapan, membuka ruang buat mereka mencipta kemenangan 4-1, sekali gus mengutip tiga mata berharga ketika bertemu Kelantan FC, pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, pada Khamis.

Ketua Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, penguasaan menyeluruh pada babak pertama itu, kerana kombinasi yang baik antara barisan tengah dan hadapan skuad kendaliannya.

"Saya menukar posisi Nor Azam Azih daripada bahagian tengah kepada penyerang kedua bagi membantu Kpah Sherman di bahagian hadapan, Sergio Aguero pula diletakkan di sebelah kanan.

"Kombinasi ini amat baik, kerana ia banyak membuka ruang untuk pemain menghasilkan gol selain kita mampu melakukan hantaran cantik, bagi menembusi kubu Kelantan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

334313248_113102908293282_2101621583904494460_n

Nor Azam ditukar daripada bahagian tengah kepada penyerang kedua. — MFL

Bagaimanapun, Fandi berkata, rentak permainan skuad Tok Gajah kembali merudum pada minit ke-70, berikutan tonggak utama mereka belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan.

"Tiga pemain utama kita iaitu Aguero, Kevin Ingreso dan Azam masih belum cergas sepenuhnya, tetapi keadaan mereka didapati semakin pulih...apabila persembahan kita menurun, bola di dalam kawalan kita hanya ditolak atau berlegar di bahagian tengah.

"Ini memberi ruang kepada pemain lawan mempamerkan aksi lebih bagus, cuma disebabkan kawalan kita ketat di bahagian tengah mereka agak sukar untuk tembus dan hanya mampu melakukan hantaran jauh,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kelantan FC, Choi Moon Sik mengakui, dia cuba menerapkan taktikal yang baik dalam pasukan pada separuh masa pertama, namun gawang mereka bolos empat gol sehingga menyukarkan situasi untuk bangkit.

"Kami cuba mencari penyelesaian atas kelemahan Kelantan FC pada separuh masa pertama dan hasilnya permainan kita agak baik pada babak kedua. Tetapi ketinggalan empat gol menyukarkan kami untuk menyaingi pasukan lawan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram