SKUAD Perak FC terpaksa akur dengan kedudukan terkini dalam Liga Super di kedudukan ke-11 tanpa mencatatkan sebarang jaringan musim ini.
Kehadiran Luciano Guaycochea pemain yang berasal dari La Pampa, Argentina dan bermain di posisi tengah pasukan Perak FC jelas memberi impak positif pasukan tersebut pada musim lepas.
Namun pada musim ini, ketiadaannya dalam pasukan Perak FC sedikit dirasai apabila skuad The Bos Gaurus hanya berkongsi satu mata ketika menentang PDRM FC dan Kelantan United.
Malah skuad Sang Seladang gagal mencuri sebarang mata ketika perlawanan sulung menentang Kedah Darul Aman FC yang menyaksikan pasukan tersebut berjaya menundukkan Perak dengan gol kemenangan 4-1.
Keputusan yang kurang memuaskan dan tidak meraih sebarang kemenangan itu jelas menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong Perak FC dan mula tercari-cari punca pasukan kegemaran mereka itu tidak dapat beraksi dengan cemerlang.
Antara punca yang sangat jelas adalah dengan ketiadaan pemain import mereka iaitu Luciano.
Oleh sebab itu, ramai penyokong The Bos Gaurus mula mencari arkitek tengah itu.
Misteri kehilangan Luciano terjawab apabila pemain import tersebut dikhabarkan kini sedang mendapatkan semula kecergasannya.
Tangkap layar perbualan admin Perak All Legend dengan Luciano. — Facebook
Bahkan bagi menenangkan khabar angin berhubung dirinya, Luciano sendiri tampil menjawab statusnya bersama Perak FC seperti perkongsian tangkap layar perbualan admin Perak All Legend dengannya.
Menurutnya, punca dia tidak bermain bersama pasukan buat masa ini kerana mengalami kecederaan namun, dia tidak dapat mendedahkan hal tersebut.
"I cannot play. I'm still injury (Saya tidak dapat bermain, saya masih cedera).
"I hope soon, I'm trying my best to be back to the field. Maybe few weeks more. Maybe two weeks, maybe (Saya harap dapat kembali bermain. Saya cuba yang terbaik untuk beraksi semula di atas padang. Mungkin beberapa minggu lagi, dalam dua minggu mungkin," katanya.
Dengan status terbaharu Luciano itu, impian penyokong Perak FC untuk melihat aksi import tersebut musim ini masih ada walaupun peluang agak malap.
Hal ini menyebabkan Perak FC buat masa ini perlu bergantung harap dengan pemain sedia ada.
Untuk rekod, Luciano mula menyertai Perak FC pada jendela pertengahan musim lepas bersama-sama Stipe Plazibat (Croatia) dan Sunday Kolawole (Nigeria), namun hanya Sunday disambung kontrak sehingga 2024.
Sebelum menyertai Perak, pemain berusia 30 tahun itu sempat beraksi pelbagai kelab di beberapa buah negara antaranya Turki, Venezuela, Bolivia selain negaranya sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram