PRESTASI yang ditonjolkan oleh pemain pertahanan Perak FC, Fahmi Daniel Mohd Zaaim mencuri perhatian penyokong dalam tiga aksi terakhir Sang Seladang di pentas Liga Super musim ini.
Walaupun masih kurang konsisten setakat ini, produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu menampilkan kesungguhan setiap kali memperoleh peluang beraksi di atas padang.
Ketika pertembungan skuad The Bos Gaurus dengan Kelantan United FC pada Sabtu di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, Kelantan, pemain berusia 21 tahun itu kurang menyerlah ketika dimasukkan sebagai pemain gantian.
Penyokong menyifatkan aksi yang dipamerkan tidak sepadu ketika diturunkan dalam kesebelasan utama Perak FC ketika bertemu PDRM FC tempoh hari, yang menyaksikan kedua-dua pasukan memperoleh keputusan seri 0-0.
Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh Fahmi Daniel untuk memantapkan lagi skil di atas padang.
Bagaimanapun penyokong tidak menafikan Fahmi Daniel mampu mempamerkan aksi lebih baik lagi-lagi liga masih panjang sekali gus memberi peluang untuk dia memperbaiki pergerakannya di atas padang.
Secara kasar, Fahmi Daniel dilihat bersungguh-sungguh demi memberikan persaingan sihat kepada pihak lawan. Namun, ada beberapa perkara perlu diperkemaskan lagi agar dia mampu bersaing secara lebih matang dan profesional.
Antara 'azimat' yang diberikan penyokong Perak FC ialah dia perlu memberi perhatian kepada aspek ketenangan dari segi kawalan bola supaya lebih kemas.
Selain itu, anak muda itu juga perlu lebih bersabar dan tidak gopoh sekali gus membantu pasukan untuk memperoleh mata untuk meletakkan Perak FC di kedudukan atas dalam carta Liga Super 2023.
Skuad muda Perak FC.
“Aku bukan nak samakan kamu dengan Arif Aiman, tetapi kamu boleh berjaya macam dia, kalau kamu lebih tenang apabila control ball (kawal bola).
“Ketenangan itu mahal, tidak semua pemain ada. Jadi berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh sampai berjaya.
“Hang (kamu) mesti padu suatu hari nanti Fahmi Daniel. Jangan sombong, ikut arahan jurulatih mesti berjaya. Main itu kena ada ketenangan sikit jangan terlalu gopoh,” kata pengguna seorang penyokong di Facebook Perak Football Club.
Setelah gagal dalam tiga perlawanan menentang Kedah FC, PDRM dan Kelantan United, Perak dijadualkan bertemu dengan Kuching FC pada 12 Mac manakala Sri Pahang, 16 Mac depan.
Untuk rekod, Fahmi Daniel pernah beraksi untuk Selangor FC II, selain pernah mewakili negara ke Kejuaraan AFF B-23 tahun ini.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram