Nafuzi mohon maaf isu kad merah, faktor emosi punca kasari pengadil ke-4


  • Podium
  • Selasa, 07 Mac 2023

Insiden yang berlaku di antara Nafuzi dan pegawai keempat perlawanan sehingga menyebabkannya dilayangkan kad merah.

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain, memohon maaf kepada pihak pengurusan, pemain dan penyokong Hijau Kuning di atas insiden kad merah yang diterimanya ketika kekalahan 1-0 di tangan PDRM FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu.

Memetik laporan Stadium Astro, Nafuzi berkata, faktor emosi yang tinggi sewaktu perlawanan itu berlangsung tanpa disedarinya mendorong dirinya bertindak di luar kebiasaan terhadap pengadil keempat.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak dan penyokong di atas insiden kad merah yang dilayangkan kepada saya ini sehingga kita gagal mencapai kemenangan pada perlawanan menentang PDRM FC yang lalu.

"Ini kerana saya terlalu mengikut emosi dan sepatutnya perkara itu tidak berlaku, dan itu adalah pengalaman pahit serta pengajaran untuk diri saya sebagai jurulatih," katanya mengulas kejadian dilayang kad merah selepas didakwa 'mengasari' pengadil keempat.

Menurutnya, perlawanan yang tegang di dalam padang juga menyebabkan dirinya gagal mengawal emosi dan perkara tersebut berlaku kali pertama sepanjang dia mengendalikan pasukan dalam saingan Liga Super.

"Biasanya saya tenang sahaja tapi tiba-tiba mungkin malam itu beremosi. Saya juga manusia biasa, kesilapan saya dan janji tak akan berlaku lagi," ujarnya.

Pengadil perlawanan itu, Mohd Azizan Saat Ariffin, melayangkan kad merah kepada kapten KDA FC, Manuel Ott, pada minit ke-59 kerana dilihat mengasari pemain lawan.

Situasi semakin memberikan tekanan kepada Sang Kenari apabila Nafuzi pula dilayangkan kad merah pada minit ke-70 kerana dipercayai mengganggu tugas pengadil perlawanan.

Dua keputusan itu dipercayai menjadi sebab moral pemain KDA FC terganggu dan gawang mereka akhirnya bolos pada minit ke-74 menerusi jaringan penyerang PDRM FC, Bruno Suzuki.

Tamat perlawanan, hampir 1,000 penyokong tuan rumah berkumpul di hadapan pintu utama Stadium Darulaman bagi menunjukkan rasa tidak puas hati atas keputusan dilakukan oleh Mohd Azizan.

Jelas Nafuzi, penting buat Sang Kenari untuk bangkit dalam pusingan pertama Piala FA 2023 ketika bertemu Penang FC di Stadium Darul Aman pada malam Rabu ini. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram