PENYOKONG bola sepak tempatan dikejutkan dengan kekalahan gergasi pasukan utara, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang tumpas 0-1 dengan PDRM di halaman sendiri dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Kekalahan tersebut turut menjejaskan peluang Kedah untuk meraih sebarang mata di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah sekali gus gagal mempertahankan dua kemenangan berturut-turut sebelum ini.
Meskipun Kedah menguasai permainan sepanjang separuh masa pertama dan kedua, dengan PDRM lebih banyak bertahan.
Namun, nasib Kedah berubah apabila ketua pasukan, Manuel Ott dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.
Kehilangan pemain dan jurulatih memberi kesan kepada Kedah sehingga akhirnya dibolosi pada minit ke-75 menerusi jaringan Bruno Suzuki.
Namun tindakan yang dilakukan oleh Nafuzi ke atas pengawai keempat perlawanan mendapat perhatian orang ramai.
Menerusi video yang dikongsikan oleh penyokong di media sosial, Nafuzi kelihatan seperti mencekik pegawai keempat kerana tidak berpuas hati terhadap pengadil perlawanan, Mohd. Azizan Saat Ariffin.
Tindakan yang dilakukan oleh Nafuzi kepada pengadil perlawanan keempat itu menjurus kepada layangan kad merah kepadanya.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berkata, pasukan Kedah gagal mengawal tekanan dan termakan dengan provokasi yang dimainkan oleh pihak lawan.
"Sebelum kejadian kad merah Manuel Ott, Kedah adalah pasukan yang lebih bagus namun gagal menguruskan tekanan dan jangkaan tinggi.
"Kad merah dari Manuel Ott adalah sia-sia, ia menjadi titik kebangkitan rasa percaya kepada PDRM.
"PDRM menggunakan elemen provokasi dan Manuel Ott gagal mengawal perasaannya, dia berjalan keluar sambil dilihat oleh Nafuzi dengan wajah yang kecewa," katanya ketika mengulas perlawanan Kedah dan PDRM.
Seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof pula berkata, Nafuzi termakan dengan elemen provokasi yang dimainkan oleh PDRM dan dipercayai memberitahu sesuatu kepada pengadil menggunakan alat komunikasi pegawai keempat.
"Malangnya, Nafuzi turut terjebak dengan perkara sama. Nafuzi hilang pertimbangan apabila keluar dari kawasan teknikal dengan pergi kearah pegawai perlawanan keempat.
"Saya percaya Nafuzi telah menggunakan alat komunikasi di badan pengawai perlawanan keempat untuk memberitahu sesuatu kepada pengadil.
"Saya percaya ia bukan kata-kata yang baik, jadi pengadil datang kepada Nafuzi untuk melayangkan kad merah," jelasnya.
Insiden itu juga menyebabkan lebih 1,000 penyokong tuan rumah berkumpul di perkarangan Stadium Darul Aman gara-gara tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pengadil.
Dalam pada itu, Penolong Jurulatih Kedah, Victor Andrag begitupun enggan mengulas mutu pengadil, Mohd Azizan yang mengadili perlawanan tersebut.
"Saya minta maaf, saya tidak boleh komen tentang isu itu," tegasnya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram