JOHOR Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC berjaya mengekalkan rentak kemenangan 100 peratus selepas meraih tiga lagi mata pada minggu ke-3 Liga Super.
Paling mencuri tumpuan ialah kehebatan juara bertahan, JDT yang meraih kemenangan besar, 7-0, menumpaskan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi manakala Sabah FC dipaksa bekerja keras oleh Kuching City FC, sebelum menang 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.
Bagi ketua jurulatih JDT, Esteban Solari, dia bukan sekadar berpuas hati dengan keputusan tetapi pemain-pemainnya berjaya menunjukkan keinginan yang tinggi untuk menang.
"Sudah tentu saya gembira dengan keputusan ini selain sikap pemain sejak minit pertama yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa berikan terbaik sepanjang perlawanan.
"Bukan mudah hendak lawan Negeri Sembilan kerana mereka bertahan dengan baik di separuh masa pertama dan ada ramai pemain yang berkualiti.
"Namun pemain tahu kemenangan pada perlawanan ini sangat penting kepada pasukan dan kerjasama sesama mereka begitu baik yang menjadi kunci kepada persembahan cemerlang pasukan," katanya dalam kenyataan MFL.
Bergson disifatkan pemain yang penting kepada pasukan. — Facebook
Dalam masa sama, Solari turut mengesahkan Leandro Velazquez mengalami kecederaan dengan terdapat koyakan di bawah lutut selain belum pasti Bergson da Silva mampu diturunkan untuk perlawanan akan datang.
"Leandro alami kecederaan koyak di bahagian bawah lutut dan saya tidak tahu berapa lama dia perlu berehat, harap tidak lama kerana dia pemain yang penting kepada pasukan.
Leandro yang terkenal dengan jolokan nama ‘budak nakal’ sentiasa menjadi watak penting kepada JDT kerana kelincahan dan kepantasan lariannya.
Kata Solari, Leandro bagaimanapun sudah mendapat rentak selepas alami kecederaan kecil semasa persiapan pramusim, begitu juga dengan Bergson.
"Dia (Bergson) pemain yang penting namun pemain lain berjaya memainkan peranan, jadi saya gembira untuk mereka semua.
"Sukar untuk saya katakan Bergson boleh kembali apabila bertemu Kelantan namun saya tidak mahu tergesa-gesa kerana mahu pemain berada di tahap 100 peratus bersedia dan kami masih ada pemain lain yang boleh disandarkan," katanya.
Dalam perlawanan itu, Fernando Forestieri dan La’vere Corbin-Ong, masing-masing meledak dua jaringan manakala Diogo Luis Santo, Arif Aiman Hanapi dan Endrick dos Santos, menyumbangkan satu gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram