KEKALAHAN yang dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri ketika berdepan PDRM FC pastinya sukar untuk dilupakan penyokong bola sepak tanah air.
Selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut, pasukan Utara tanah air tersebut menjadi pilihan untuk membawa pulang tiga mata berharga.
Tambahan pula, skuad Sang Saka Biru yang hanya berada di Liga Perdana musim lalu masih belum menjaringkan sebarang gol, apatah lagi mencatatkan kemenangan pertama.
Jadi, tidak hairanlah apabila keputusan tersebut masih hangat diperkatakan meskipun sudah hampir tiga hari perlawanan itu berakhir.
Namun, apa yang menarik perhatian dalam pertembungan berkenaan adalah keputusan pengadil perlawanan untuk melayangkan dua kad merah.
Azizan Saat Ariffin yang mengadili pertembungan berkenaan menjadi perhatian selepas mengarahkan kapten pasukan, Manuel Ott untuk meninggalkan padang disusuli dengan tindakan sama terhadap ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain.
Ketiadaan dua individu tersebut pastinya memberi kesan terhadap rentak yang cuba disusun KDA FC pada awal musim bagi menghidupkan peluang mereka dalam merebut kejuaraan Liga Super.
Lee Tuck (dua dari kanan) merupakan naib kapten Sang Kenari untuk musim 2023. — Facebook/KDA FC
Meskipun tiada kenyataan rasmi daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai jumlah perlawanan digantung, Manuel Ott pastinya kempunan untuk aksi menentang Kelantan United pada Isnin akan datang.
Persoalannya, siapakah yang mempunyai kredibiliti untuk memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan berdasarkan tiga aksi liga yang sudah dihadapi skuad Sang Kenari?
Berdasarkan hierarki pasukan, dua pemain tengah, Lee Tuck dan Akmal Zahir merupakan individu yang paling layak selepas dipilih sebagai naib kapten awal musim lalu.
Namun, bagi penyokong Sang Kenari, mereka memilih pertahanan kelahiran Serbia, Bojan Ciger sebagai calon terbaik melihat kepada kehadiran serta kredibilitinya sejak membuat debut menentang Perak FC.
Perkara tersebut dilaungkan seorang peminat setia Hijau Kuning, Don K-Rul Izham yang menyenaraikan tiga keistimewaan pemain berkenaan.
Adakah Bojan memiliki kualiti untuk memakai lilitan kapten ketika berdepan Kelantan United? — Facebook/KDA FC
"Pertama, ketika melakukan perangkap offside yang tak jadi kerana kealpaan rakan sepasukan. Bojan sudah bersedia untuk melakukan larian sambil mengangkat tangan sebagai isyarat kepada pengadil perlawanan, ia merupakan satu teknik yang cukup baik, terutamanya buat seorang pemain pertahanan.
"Kedua, Bojan sangat vokal dan menunjukkan sifat kepimpinan yang cukup baik kerana dia akan memberi arahan kepada rakan sepasukan meskipun bukanlah seorang kapten.
"Ketiga, dia 'ajar' Fayadh yang mana dia diganggu secara mental selepas diterjah pemain lawan, namun Bojan pantas mengingatkan Fayadh supaya lebih bertenang dan cuba mendapatkan jaringan," katanya.
Kesemua ciri-ciri yang dikenal pasti ketika berdepan PDRM FC itu pastinya memberi gambaran bahawa pemain tinggi lampai itu sesuai untuk diberi kepercayaan memakai lilitan kapten.
Bagaimanapun, keputusan tersebut semestinya terletak di bahu barisan kejurulatihan KDA FC yang sememangnya berhasrat untuk kembali mendapatkan rentak ketika bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.
Bojan dibawa masuk ketika jendela perpindahan lalu dari kelab Uzbekistan, PFC Navbahor Namangan bagi menggantikan bekas kapten pasukan, Marc Vales. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram