KEHEBATAN dan kelincahan penyerang skuad kebangsaan, Faisal Halim sememangnya sukar untuk disangkal, baik bersama Harimau Malaya mahupun di peringkat kelab.
Musim lepas, sentuhannya bersama Terengganu FC cukup berbisa apabila dia membantu skuad Sang Penyu muncul sebagai naib juara Liga Super dan Piala FA.
Dalam saingan liga sahaja, pemain kelahiran Pulau Pinang itu mencetak enam gol peribadi di samping mencipta sembilan bantuan dalam 20 penampilan.
Bagaimanapun, dalam mengembangkan lagi kariernya, Faisal memilih untuk tidak menyambung kontraknya bersama Terengganu FC bagi membolehkannya berhijrah ke Selangor FC.
Seperti yang diramal, prestasi menakjubkan penyerang bertubuh kecil itu diteruskan apabila dia tidak perlu menunggu lama untuk mencipta keserasian bersama rakan sepasukan.
Setakat tiga aksi Liga Super, Faisal sudah merekodkan tiga bantuan gol bagi membantu jentera serangan skuad Gergasi Merah mencabar kejuaraan.
Namun, di sebalik kecemerlangan itu, pemain tersebut tidak pernah lekang dengan kontroversi apabila kerap terlibat dalam insiden hangat di atas padang.
Pertemuan bersama Sri Pahang FC di laman sendiri membuktikan perkara tersebut apabila berlaku pergelutan dengan penyerang Tok Gajah, Azrif Nasrulhaq.
Bagi penyokong setia bola sepak tanah air, ia bukanlah satu perkara yang baharu selepas Faisal sudah beberapa kali terlibat dengan insiden sama.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang pernah terlibat dengan momen hangat bersama pemain licik itu sehingga menjadi bahan bualan orang ramai.
1. Safiq Rahim (JDT)
Ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021, Terengganu FC diundi bersama gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang mana cukup mendebarkan buat kedua-dua pasukan.
Selepas terikat 1-1 pada perlawanan pertama, skuad Harimau Selatan mendahului dengan tiga gol tanpa balasan ketika beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Meskipun kelebihan cukup besar berpihak kepada pasukan Selatan tanah air itu, pergerakan yang dipamerkan Faisal menyebabkan pemain tengah lawan, Safiq Rahim dilayangkan kad merah.
Safiq dilayangkan merah selepas menanduk Faisal Halim. — Facebook/BOLA SEPAK TERENGGANU
Berdasarkan pemerhatian dalam perlawanan itu, kedua-dua pihak dilihat sudah terlibat dalam beberapa insiden sebelum Safiq membentes Faisal pada minit ke-15.
Berang akan terjahan kasar itu, pemain sayap berkenaan dengan sengaja melakukan provokasi terhadap lawannya itu sehingga menyaksikannya ditanduk di kepala.
Melihat insiden tersebut, pengadil perlawanan tidak berfikir panjang untuk mengarahkan bekas kapten skuad kebangsaan itu untuk meninggalkan padang, sekali gus menyaksikannya terlepas aksi final.
Kedua-dua pemain bagaimanapun tidak menunggu lama untuk saling memaafkan, yang mana membuktikan bahawa mereka memiliki tahap profesionalisme cukup tinggi.
2. Azamuddin Akil (KDA FC)
Pemain tengah kelahiran Pahang, Azamuddin Akil merupakan seorang yang cukup terkenal dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah menyertai beberapa pasukan Liga Super, termasuk JDT dan Kelantan FC.
Namun, antara momen terbaik dalam kariernya adalah ketika dia menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2019, apabila membantu pasukannya muncul juara Piala Malaysia pada musim sama.
Tetapi, sepanjang berada bersama kelab Utara tanah air itu, Azamuddin juga tidak pernah lekang dengan kontroversi, termasuk ketika bertemu Faisal Halim.
Dalam satu aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah pada 2021, Faisal yang ketika itu masih bersama Terengganu FC beraksi dengan cukup baik bagi membantu pasukannya mendahului 2-1.
Insiden tegang antara Azamuddin dan Faisal pada 2021. — Facebook/Berita Viral Terkini Malaysia
Tekanan yang cukup hebat pasti dirasai Azamuddin sehingga menyaksikannya 'termakan' provokasi yang dilakukan Faisal tanpa disedari.
Pada minit ke-90, pemain sayap itu dilihat cuba untuk mendapatkan bola daripada Azamuddin, namun terjahan sedikit lewat menyaksikan pemain senior berkenaan jatuh sambil memegang buku lalinya.
Berang akan situasi tersebut, pemain tengah yang juga dikenali sebagai Alex itu tidak berfikir panjang sebelum mencekak leher baju Faisal dengan tangan kanannya dilihat sedia untuk melepaskan tumbukan.
Bagaimanapun, tahap profesionalisme yang dipamerkan kedua-dua mereka mengelak perkara lebih buruk berlaku dengan pengadil perlawanan juga pantas meleraikan perselisihan faham itu.
3. Azrif Nasrulhaq (Sri Pahang FC)
Seperti mana yang dibincangkan di atas, Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey sekali lagi terpalit dengan kontroversi ketika bertemu Sri Pahang FC pada Ahad.
Perlawanan yang sememangnya dijangka hangat itu dimulakan dengan pergelutan antara pemain berkenaan dengan bek kanan pinjaman Tok Gajah, Azrif Nasrulhaq.
Keadaan agak tegang apabila Azrif dilihat mencekak leher Faisal Halim namun, keadaan berjaya dikawal oleh pengadil perlawanan tanpa sebarang layanan kad diberikan kepada kedua-dua pemain.
Azrif (kiri) mencekik Faisal dalam satu insiden di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad. — Media sosial
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri, namun insiden yang membabitkan kedua-dua pemain pasti sukar dilupakan, lebih-lebih lagi dengan reputasi Faisal yang semakin dikenali sebagai 'budak jahat' bola sepak.
Kebijaksanaannya untuk melakukan provokasi dilihat berjaya meningkatkan namanya dengan dia dianggap sebagai salah seorang prospek terbaik bagi skuad kebangsaan.
Selepas perlawanan tersebut, kedua-dua pemain bagaimanapun dilihat dengan tenang bertegur sapa, sekali gus menunjukkan bahawa pergelutan di atas padang tidak sewajarnya memberi impak besar dalam nilai kemanusiaan seseorang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram