Belajar kesilapan terciduk di tangan JDT, ini 3 perkara TFC perlu 'revise' semula


  • Podium
  • Ahad, 26 Feb 2023

Skuad Sang Penyu terpaksa akur dengan asakan demi asakan yang dibuat pemain JDT. — Facebook/Terengganu FC

JOHOR Darul Takzim (JDT) menepati ramalan ramai apabila mudah menundukkan Terengganu FC dalam aksi Piala Sumbangsih pada Jumaat yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Kemenangan yang terhasil berpunca jaringan daripada Juan Muniz dan Bergson da Silva juga bermakna mereka membawa tiga mata pertama untuk saingan Liga Super.

Tumpuan semestinya diberikan terhadap Terengganu FC yang dikatakan terlalu longlai di atas padang sehingga gagal memberi cabaran kepada pihak lawan.

Kesukaran ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk menerapkan ideologinya jelas menjadi bahan bualan apabila terdapat segelintir penyokong yang mempersoalkan kredibilitinya.

Nama-nama baharu, seperti Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn juga dilihat bergelut untuk membantu jentera serangan dengan gerakan yang amat mudah dibaca benteng pertahanan Harimau Selatan.

Tinjauan di media sosial mendapati masih terdapat sebahagian peminat setia Sang Penyu yang enggan memberi tekanan kepada pasukan berdasarkan aksi pembukaan itu.

Namun, rata-rata penyokong pula berasakan Tomislav dan pihak pengurusan perlu bertindak segera sekiranya masih bercita-cita untuk mengulangi pencapaian musim lepas.

Isu tersebut juga dikhuatiri bakal menjejaskan pencapaian mereka dalam saingan Piala AFC yang mana pasukan Pantai Timur itu sudah berusaha keras untuk layak sepanjang 2022.

Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan sudah ditutup, Terengganu FC tidak lagi berpeluang untuk meningkatkan kualiti skuad melalui pembelian pemain.

Jadi, sekiranya mereka berhasrat untuk segera bangkit, terdapat tiga perubahan yang harus diambil Tomislav dalam perlawanan selepas ini.

1. Menggunakan khidmat Nik Sharif & Rahadiazli

Kehilangan pemain sayap, Faisal Halim sememangnya memberikan impak besar buat skuad Sang Penyu selepas penyerang kebangsaan itu menjadi antara tonggak pasukan musim lepas.

Enam gol dan sembilan hantaran jaringan yang dilakukan sudah cukup untuk menggelarnya sebagai salah seorang pemain terbaik Terengganu FC sebelum dia mengambil keputusan berhijrah ke Selangor FC.

Bagi menutup kekosongan yang ditinggalkan, Tomislav memilih untuk menurunkan Ivan Mamut bagi merencanakan gerakan dari posisi sayap kanan.

Keputusan itu dilihat tidak membuahkan hasil apabila pemain kelahiran Croatia itu sukar untuk mengatasi benteng pertahanan JDT yang dikawal rapi.

Sekiranya Terengganu FC bercita-cita untuk mencetuskan kreativiti dalam jentera serangan mereka, bekas pemain sayap Selangor FC, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim adalah lebih sesuai.

Dia yang sebelum ini berkhidmat bersama skuad Sang Penyu pada 2022 secara pinjaman sudah pastinya mempunyai keserasian bersama rakan sepasukan.

Jadi, dengan mereka bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu, Tomislav perlu menurunkan pemain kelahiran Pahang itu bagi mencipta lebih banyak serangan.

331720151_566310982104532_8703787620925425340_n

Rahadiazli perlu diberikan minit permainan bagi menggantikan Suhaimi. Facebook/Terengganu FC

Sementara itu, benteng pertahanan pasukan juga perlu ditambah baik apabila penjaga gol yang diturunkan pada Jumaat, Suhaimi Hussin melakukan kesilapan merugikan.

Meskipun khidmatnya membantu Terengganu FC musim lalu, dia dilihat tidak cukup lantang dalam mengemudi rakan sepasukannya sepanjang 90 minit di atas padang.

Oleh itu, barisan kejurulatihan juga perlu bertindak lebih berani untuk menurunkan penjaga gawang muda, Rahadiazli Rahalim dalam aksi-aksi selepas ini.

Pemain berusia 22 tahun itu pernah mencipta kejutan bersama pasukan Pantai Timur itu apabila kerap menggagalkan percubaan pihak lawan musim lepas.

2. Menggugurkan Zuasyraf

Dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu, beberapa pemain Terengganu FC menerima kritikan hebat daripada penyokong selepas satu aksi yang longlai.

Penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn dan Suhaimi menjadi antara pihak yang diberi perhatian ramai apabila jarang memberi sumbangan berkualiti.

Namun, berdasarkan pemerhatian lebih teliti, pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle lebih banyak dikecam apabila terlalu kerap melakukan kesilapan mudah.

WhatsApp Image 2023-02-25 at 20.06.43

Penampilan Zuasyraf diberi kritikan hebat oleh penyokong Terengganu FC. Facebook/Terengganu FC

Selain gagal membuat hantaran tepat, pemain berusia 26 tahun itu juga dilihat mudah kehilangan bola sehingga memberi ancaman terhadap benteng pertahanan sendiri.

Tetapi, adalah tidak wajar untuk terus merendahkan kemampuan graduan akademi kelab itu apabila dia memikul tanggungjawab besar bagi menggantikan ketiadaan perancang pasukan, Habib Haroon.

Kecederaan yang dialami pemain kebangsaan Bahrain itu menyaksikan Zuasyraf diberikan debut pertama bersama pasukan senior, namun berakhir dengan kekecewaan.

Oleh itu, bagi memastikan posisi tengah Terengganu FC berada dalam penjagaan yang lebih rapi, Tomislav sepatutnya memberi minit permainan buat pemain berusia 31 tahun, Faiz Nasir.

Pendekatan itu bukanlah berpunca untuk menyekat perkembangan Zuasyraf kerana ia akan serba sedikit membantu pemain tersebut untuk mendapatkan semula rentak dan momentum lebih baik.

3. Kurangkan tekanan dengan tidak bercita-cita tinggi

Musim lalu, Terengganu FC merupakan antara pasukan terbaik apabila mudah mengatasi setiap lawan yang dihadapi mereka dalam apa jua pertandingan yang disertai.

Prestasi mengagumkan itu menyaksikan kelab Pantai Timur berkenaan menduduki tangga kedua Liga Super serta mara ke pentas akhir Piala FA.

Jadi, tekanan buat pasukan ketika ini pastinya besar dengan rata-rata penyokong pastinya berhasrat untuk menyaksikan kejayaan itu diulangi.

Bagaimanapun, dengan aksi kurang memberangsangkan ketika berdepan JDT itu, mereka perlu bersifat lebih realistik dengan tidak meletakkan tekanan tinggi buat pasukan.

331678724_584381263580106_5090469056293888358_n

Penyokong Sang Penyu perlu meletakkan harapan realistik buat pasukan musim ini. Facebook/Terengganu FC

Harapan yang tinggi diletakkan terhadap skuad Sang Penyu boleh diredakan dengan Tomislav perlu lantang ketika menyampaikan mesej agar pemain tidak terlalu gemuruh dalam mencapai sasaran ditetapkan.

Tambahan pula, kebangkitan pasukan-pasukan Liga Super yang lain, termasuk KDA FC dan Selangor FC hanya akan menyekat perkembangan Terengganu FC jika mereka terus beraksi dengan tekanan besar setiap kali perlawanan.

Ketika ini, naib juara Liga Super 2022 itu masih berpeluang untuk melakar satu musim yang bersejarah apabila mereka bakal beraksi di Piala AFC 2023.

Sekiranya mereka mampu memberikan tentangan terbaik dalam kejohanan tersebut, ia masih boleh dianggap sebagai satu pencapaian berharga seperti mana yang dilakar Kuala Lumpur (KL) City FC musim lepas.

Oleh itu, pihak pengurusan dan kejurulatihan perlu bertindak dengan lebih drastik bagi memastikan pemain dapat beraksi dengan lebih tenang dan yakin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram