SELANGOR FC terpaksa berputih mata selepas tewas 1-2 di tangan Penang FC dalam kejohanan Piala Harapan 2023 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Sabtu.
Rata-rata para penyokong Gergasi Merah nyata kecewa kerana menganggap pasukan itu terlepas piala yang sudah hampir pasti dalam genggaman mereka setelah terdahulu menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC).
Dalam aksi itu, Selangor yang terlebih dulu menjaringkan gol awal pada minit ke-25 menerusi jaringan Mukhairi Ajmal gagal mengekalkan momentum untuk menyekat kebangkitan Penang FC.
Memiliki beberapa pemain Harimau Malaya, skuad The Red Giants bagai hilang 'taring' ketika berdepan Penang FC yang pernah menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini.
Antara pemain yang dilihat kurang menyerlah termasuklah Aliff Haiqal Hakim Lau, Norhakim Hassan dan Quentin Cheng.
Selain itu, aksi pemain import baharu pasukan Merah Kuning, Ayron Del Valle yang menggantikan penyerang sebelum ini, Herlison Caion yang berhijrah ke Kuala Lumpur City FC.
Turut menerima teguran adalah Mukhairi sendiri yang diingatkan supaya terus konsisten dalam persembahannya.
Kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan sepanjang perlawanan dianggap tidak sepatutnya diulangi lagi-lagi masing-masing sudah menimba pengalaman berharga beraksi di pentas Piala AFF.
Malah isu mencari keserasian dalam permainan juga tidak sepatutnya timbul kerana mereka sudah menjalani latihan bersama sejak beberapa bulan.
Dari segi tahap kecergasan, mungkin faktor tersebut sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada prestasi flop skuad Selangor yang meningkat naik di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.
Sementara itu, Cheng Hoe berkata, persembahan barisan pemain kebangsaan termasuk Faisal Halim, R Ruventhiran, Khuzaimie Piee perlu diperbaiki kerana mereka masih harus mencari keserasian untuk menyesuaikan diri dalam corak permainan pasukan.
Kejohanan Piala Harapan 2023 dengan format kalah mati bermula Khamis lalu itu mengumpulkan empat pasukan - PFC selaku penganjur, Selangor FC, KDA FC serta kelab dari Singapura, Geylang International FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram