PERMULAAN musim yang cukup cemerlang dipamerkan Sabah FC selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super.
Kejayaan untuk menundukkan PDRM FC di Stadium Likas, Sabah pada hujung Februari lalu disusuli dengan keputusan bergaya 3-1 ketika menerima kunjungan Kelantan United FC Rabu lalu.
Enam mata yang dikumpul itu sudah memadai untuk menyaksikan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berada di persada liga sambil diekori rapat tiga pasukan lain.
Bagaimanapun, skuad Sang Badak dilihat mempunyai kelebihan apabila kesemua rekrut jendela perpindahan mereka tidak menunggu lama untuk mencipta keserasian.
Penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok dan pemain tengah kelahiran Portugal, Telmo Castanheira juga wajar diberikan pujian menggunung selepas masing-masing menjaringkan gol peribadi mereka bersama Sabah FC.
Di barisan pertahanan pula, keampuhan pemain dipamerkan apabila mereka hanya dibolosi sekali setakat ini, iaitu menerusi sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin ketika berdepan Kelantan United.
Meskipun kedua-dua lawan itu dianggap sebagai pasukan yang kurang memberi ancaman, prestasi awal musim itu pastinya menyuntik semangat buat pemain dan penyokong.
Rawilson merupakan antara pemain yang semakin disisihkan musim ini. — Facebook/Sabah FC
Bagaimanapun, di sebalik pujian yang tidak henti-henti dicurahkan itu, segelintir penyokong seakan-akan dengan sengaja cuba menyemarakkan api kemarahan pengikut setia Sang Badak.
Menurut mereka, keengganan pasukan Borneo itu untuk menggunakan anak jati Sabah sedikit sebanyak menyekat peluang bakat-bakat dari negeri tersebut daripada terus bersinar.
Pandangan itu dilihat masih berasas apabila bekas kapten yang juga merupakan pemain kelahiran Sabah, Rawilson Batuil kehilangan tempat dalam kesebelasan utama.
Namun, bagi menjawab persoalan akan perkara tersebut, seorang penyokong, Richel Raffail berasakan keputusan barisan kejurulatihan untuk menurunkan pemain terbaik tidak sepatutnya dipertikaikan.
Baginya, sesiapa sahaja berpeluang mendapatkan tempat dalam sesebuah pasukan, tetapi perlu berusaha keras supaya menjadi lebih baik berbanding rakan sepasukan.
"Mereka perlu bersaing untuk kesebelasan utama macam juga yang kita lihat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Kadang-kadang, ada pasukan yang tidak menurunkan pemain England langsung.
"Pada saya, Sabah FC masih lagi OK kerana ramai juga pemain tempatan yang dapat peluang. Selagi mereka (anak jati) tiada niat untuk bersaing, tiada keperluan untuk diletakkan dalam skuad utama," katanya.
Sabah FC memulakan kempen Liga Super 2023 dengan cukup baik. — Facebook/Sabah FC
Musim lepas, anak-anak buah Kim Swee menikmati satu musim yang cukup cemerlang apabila menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga selain muncul sebagai semi-finalis Piala Malaysia.
Prestasi tersebut dilihat masih boleh ditambah baik, lebih-lebih lagi dengan kualiti dan kuantiti pemain yang dimiliki skuad Sang Badak ketika ini.
Tambah Richel, penyokong juga tidak sepatutnya terus gusar dengan lambakan import dalam skuad kerana ia memberi peluang kepada pemain tempatan untuk mempelajari sesuatu.
"Sekarang ni, Kim Swee mungkin sedang membimbing pemain tempatan untuk mempelajari skil supaya mereka dapat mencapai tahap seperti import yang kita miliki.
"Itulah pentingnya Sabah FC bawa masuk pemain profesional supaya mereka dapat bimbing sehingga pemain tempatan jadi lebih matang dan berpengalaman," katanya.
Ketika jendela perpindahan lalu, skuad Sang Badak mengesahkan bahawa pasukan itu bakal dibarisi tujuh pemain import, termasuk dua bekas tonggak pasukan musim lepas, iaitu Park Tae-su dan Saddil Ramdani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram