Dah 2 game terlepas, fans Sabah tak sabar tunggu penampilan pertama Jacob


  • Podium
  • Ahad, 05 Mac 2023

Jacob dilihat bersama skuad Sabah FC dalam sesi latihan menjelang perlawanan menentang KUFC pada Isnin.

SABAH FC dilihat tidak mempunyai masalah untuk memulakan kempen Liga Super 2023 kali ini dengan bergaya apabila memperoleh mata penuh dalam dua perlawanan pertama.

Malah skuad The Rhinos juga dilihat seakan-akan tidak berhadapan sebarang masalah memecahkan kebuntuan mencari jaringan di kedua-dua perlawanan tersebut yang diadakan di halaman sendiri di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Di perlawanan pertama, skuad Sang Badak mencetak empat gol berbalas kosong ketika menentang PDRM FC manakala perlawanan kedua pula menyaksikan tiga jaringan berjaya menembusi gawang Kelantan United FC dengan pihak lawan berjaya mencuri satu gol di separuh masa kedua.

Namun begitu daripada tujuh gol diperolehi, hanya satu daripadanya datang daripada penyerang The Rhinos iaitu Darren Lok melalui sepakan penalti.

Selebihnya bepunca daripada pemain di posisi lain seperti pemain sayap kiri, Saddil Ramdani dan pertahanan, Park Tae Su yang masing-masing menjaringkan dua gol sementara selebihnya disumbangkan dua pemain tengah iaitu Stuart Wilkin serta Telmo Castanheira.

Sehubungan itu, di sebalik keputusan positif dicapai, skuad Sang Badak dilihat masih belum sepenuhnya menyelesaikan isu ketumpulan bahagian serangan yang menjadi duri dalam daging kepada pencapaian Sabah FC pada musim lepas yang hanya bepuas hati di tangga ketiga liga.

SABAH

The Rhinos tidak berhadapan sebarang masalah memecahkan kebuntuan mencari jaringan di dua perlawanan pertama yang diadakan di halaman sendiri di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

The Rhinos memasuki musim kali ini dengan penyerang baharu yang direkut daripada pasukan Pantai Timur iaitu Jacob Njoku.

Bagaimanapun, penyerang berusia 25 tahun itu masih tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada dua perlawanan melibatkan pasukan Sabah.

Terdapat desas-desus mengatakan punca ketiadaan kelibatnya adalah kecederaan.

Namun setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pengurusan mahupun pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berhubung status pemain tersebut yang menyumbat enam gol ketika membuat penampilan bersama Kelantan United FC di Liga Perdana musim lepas.

Disebabkan itu, peminat The Rhinos dilihat sudah tidak sabar untuk melihat aksi Jacob menyarung jersi skuad Sang Badak.

Malah, kelibatnya dalam sesi latihan menjelang aksi menentang Kuching City FC (KUFC) pada Isnin juga menyebabkan ramai antara peminat menjangka penyerang tersebut akan diturunkan pada perlawanan kali ini.

330231660_756123849446227_1456439681906074321_n

Jacob berjaya menyumbat enam gol ketika membuat penampilan bersama Kelantan United FC di Liga Perdana musim lepas.

Menjengah di ruangan komen, peminat juga rata-ratanya meminta aga Kim Swee memberi peluang kepada Jacob peluang beraksi pada perlawanan bakal diadakan di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, Sarawak itu.

"Mahu tengok Jacob berganding dengan Daren di bahagian menyerang," kata Alfandy Andy.

"Nak tengok dia beraksi malam esok (Isnin)," tulis Junaidi Razali.

"Kenapa balik-balik dia tiada dalam senarai. Kami mahu tengok dia main bola di Kuching," kata Raja Tukul.

Dalam pada itu, ada antara peminat yang meminta Kim Swee supaya merehatkan beberapa pemain utama barisan penyerang yang sudah beraksi dua perlawanan berturut-turut bagi memberi ruang kepada Jacob bermain.

"Beri rehatlah kepada Darren. Kesian juga nampak dia berhabis main dua game tu," ujar Matleh Sinin.

"Kasi rehat kepada Saddil dan Jailton (Paraiba) untuk game menentang Kuching City. Nanti jumpa Sri Pahang baru mereka main. Bagi Jacob pula main," tulis Wilson Kasmir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram