'Misi balas dendam', penyokong TFC mahu skuad adik kembalikan maruah 'abang'


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Perlawanan di antara KDA B dan TFC II dijadualkan berlangsung pada Jumaat.

MISI balas dendam buat skuad muda Terengganu FC II (TFC II) untuk mengembalikan maruah pasukan utama TFC apabila mereka dijadualkan bertemu Kedah Darul Aman B di Stadium Darul Aman, Kedah dalam kejohanan Piala MFL pada Jumaat.

Ini merupakan peluang buat TFC II untuk menyuntik semangat penyokong skuad Penyu yang kecewa dengan pasukan utama mereka yang tidak berjaya mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan Liga Super.

KDA B akan bertemu TFC II buat pertama kali dalam kejohanan Piala MFL. Facebook/MFL

Perlawanan di antara KDA B dan TFC II dijadualkan berlangsung pada Jumaat dan skuad Sang Kenari sudah mengumumkan barisan utama mereka yang dibarisi seorang pemain import, Alan Robertson.

Piala MFL baru diperkenalkan pada musim ini bagi mengetengahkan bakat pemain muda dan membolehkan pemain tempatan mendapat minit permainan.

Walaupun perlawanan pada Jumaat ini melibatkan pemain-pemain muda, namun masih mendapat perhatian penyokong bola sepak lebih-lebih lagi dari Kedah dan Terengganu.

Alfi Rasid

Skuad muda Kedah turut dibarisi adik kepada pemain kebangsaan, Safawi Rasid iaitu Alfi Rasid yang akan menyarung jersi bernombor sembilan. Facebook/KDA B FC

Rata-rata penyokong Terengganu menuntut pemain-pemain muda mereka berjuang sehabis baik untuk mendapatkan tiga mata sekali gus membalas dendam kekalahan skuad abang.

"Misi team adik untuk balas dendam buat pasukan abang, insha-Allah KDA B 0-3 TFC II," kata Alem Zakaria.

"Saya mendoakan semoga TFC II beroleh kejayaan menentang Kedah Jumaat ini," ujar Shamsul Fazili Noor.

"Boleh ini balas dendam untuk skuad abang, kembalikan maruah TFC dan kutip tiga mata penuh," luah Khiarul Oman.

Ketika ini skuad utama TFC gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan liga lalu menduduki tangga ke-13 sekali gus berkongsi mata dengan Kelantan United dan Kelantan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram