TIGA negara Asia, iaitu Palestin, India dan Lubnan mengesahkan penyertaan mereka dalam Pestabola Merdeka Oktober depan, menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, ketiga-tiga pasukan tersebut berada di ranking yang lebih baik berbanding Harimau Malaya, sekali gus akan menjadi lawan berkualiti sebelum beraksi di Piala Asia di Qatar pada Januari 2023.
"Perkara ini juga diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan FAM baru-baru ini. Jemputan juga telah dihantar dan semua pasukan juga sudah bersetuju.
"Kami menjemput pasukan dari Timur Tengah kerana mereka memiliki kelebihan daripada segi fizikal dan kemampuan sebagai lawan yang bagus untuk pasukan negara. Ia akan menjadi kejohanan yang penting untuk Harimau Malaya menilai kemampuan sebelum Piala Asia berlangsung.
"Malah, saya yakin kegemilangan Pestabola Merdeka ini juga akan dapat dikembalikan dengan kami menjemput pasukan yang berada di ranking lebih baik daripada pasukan negara selain akan menjadikan kejohanan lebih menarik," katanya.
Berdasarkan ranking semasa, Palestin berada di kedudukan ke-93 dunia, Lubnan (100) dan India (106) akan beraksi dalam penganjuran semula Pestabola Merdeka yang kali terakhir diadakan pada 2013.
Harimau Malaya muncul juara dalam penganjurang terakhir Pestabola Merdeka pada 2013,
Malaysia muncul pasukan paling berjaya dengan 10 kejuaraan sejak dianjurkan pada 1957 diikuti Korea Selatan tujuh kali dan Myanmar empat kali.
Dalam pada itu, Firdaus turut mengesahkan kejohanan itu akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menggunakan konsep seperti digunakan dalam Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand pada September tahun lalu.
Menurutnya, FAM bersedia untuk menambah baik konsep penganjuran kejohanan tersebut pada masa akan datang sekali gus menjadikannya lebih berprestij.
"Untuk permulaan ini kita buat konsep seperti Piala Raja Thai dengan pasukan akan terus bermain dalam separuh akhir kemudian ke final. Selain itu ada juga penentuan tempat ketiga dan keempat
"Untuk akan datang kemungkinan kami akan buat konsep yang berbeza sebab untuk penganjuran ini kami berdepan kekurangan masa.
"Kejohanan ini juga akan berlangsung dalam kalendar FIFA dan kami tidak boleh jemput tambahan dua atau tiga pasukan kerana tempoh kejohanan yang pendek," katanya. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram