KEPUTUSAN seri dalam dua perlawanan terdahulu menyaksikan pasukan Negeri Sembilan FC ketika ini berada di kedudukan kelapan dalam carta Liga Super 2023.
Gagal mencapai kemenangan dalam perlawanan menentang Pahang FC dan Penang FC menyaksikan skuad K Devan masih tercari-cari rentak dan momentum sebenar di atas padang apabila barisan pemain yang diturunkan gagal membuahkan hasil.
Desakan peminat menunjukkan beberapa pemain yang disenaraikan di bahagian serangan seolah-olah kurang serasi dengan taktikal diterapkan Devan.
Meskipun mempunyai beberapa lagi pemain yang boleh diharapkan, namun Devan masih meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap kesebelasan yang sama dalam dua perlawanan tersebut dengan trio Levy Madinda, Mahali Jasuli dan Anselmo Arruda da Silva ataupun dikenali sebagai Casagrande kekal dipertaruhkan di bahagian serangan.
Keputusan itu mula mengundang seribu satu persoalan terhadap perancangan yang diterapkan jurulatih itu dengan rata-ratanya berpendapat pilihan pemain di bangku simpanan seperti Shahrel Fikri, Sean Selvaraj dan A. Selvan perlu diberikan peluang beraksi.
"Mana pergi Eky, simpan buat pekasam je buat apa bila masa nak diturunkan," Abdul Mutalib Md Salleh.
"Hairan juga kenapa Sean, Selva pun tak main, sepatutnya dah dua perlawanan ni kena tukar pemain kasi mereka serasi," ujar Zhan Jalaludin.
"Cuba gunakan tenaga penyerang tempatan pula, serangan Negeri Sembilan sekarang memang tumpul betul," tambah Azlee Jahan.
Malah ada penyokong mendesak agar gandingan trio '3s' diturunkan dalam perlawanan seterusnya dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) bakal berkunjung ke Stadium Paroi pada 6 Mac nanti.
Shahrel Fikri
Pemain yang mesra disapa Eky ini mula beraksi bersama Selangor FC sejak musim 2021 namun, tahun pertamanya bersama kelab tersebut tidak berjalan dengan baik apabila mengalami kecederaan retak tulang fibula di bahagian betis ketika beraksi menentang Sri Pahang FC.
Musim 2022 menyaksikan Shahrel Fikri menjadi pilihan kedua di belakang penyerang import, Caion dan perkara ini nyata menyukarkan pemain itu untuk menampilkan prestasi sebenar dan sepanjang musim 2022, Eky hanya menjaringkan satu gol dalam 19 perlawanan yang dihadapi.
Menyifatkan Negeri Sembilan sebagai sebuah pasukan yang berpotensi besar, Shahrel dikatakan mahu menimba pengalaman serta bimbingan yang lebih sempurna bagi meningkatkan tahap prestasinya dengan beberapa penyerang berpengalaman seperti Zaquan Adha dan Mahali dijadikan contoh.
Melihat kepada umurnya yang berusia 28 tahun, Shahrel masih mempunyai masa untuk kembali ke prestasi terbaik dengan penghijrahannya ke skuad Jang menjadi sandaran utama penyokong dalam pasukan tersebut.
Sean Selvaraj
Mula mencuri tumpuan menerusi jaringan jarak jauh ketika menentang Selangor dalam saingan liga musim lepas, Sean Selvaraj bukan sahaja memiliki tindakan penyudah yang baik malah turut mempunyai kawalan bola yang bagus.
Selain mencuri perhatian warganet, jaringannya juga berjaya menarik tumpuan media bola sepak ternama antarabangsa apabila memuat naik aksi jaringan bertaraf dunia itu di laman Twitter.
Sementara itu, sepanjang musim lepas, Sean bermain dalam 13 perlawanan untuk Negeri Sembilan dengan dua daripadanya bermula dalam kesebelasan utama dan sumbangan pemain itu boleh dikatakan agak besar apabila berjaya membantu skuad Jang menduduki tangga keempat liga.
Pemain yang beraksi di bahagian sayap kanan itu tekad untuk membantu skuad Negeri Sembilan layak ke Piala AFC tahun hadapan selain turut memasang impian untuk dipanggil oleh jurulatih Kim Pan-gon mewakili skuad Harimau Malaya.
A. Selvan
Mula beraksi bersama Negeri Sembilan pada tahun 2020, kelicikan serta kelajuan yang dimilki membuatkan namanya semakin dikenali di samping usia mudanya yang menjadi aset penting pasukan untuk tempoh jangka masa panjang.
Berusia 22 tahun dan berketinggian 1.70 meter, pemain di posisi tengah itu bijak dalam membuat hantaran lintang dan kerap kali memberikan ancaman kepada kubu pertahanan pasukan lawan.
Turut tersenarai dalam skuad B-23 kebangsaan di Sukan SEA Hanoi tahun lalu, prestasi pemain itu dikatakan kian meningkat susulan latihan serta pendedahan yang diraih bersama Harimau Malaya.
Maka tidak hairanlah mengapa namanya mula menjadi bualan penyokong negeri Sembilan pada musim ini dengan kepercayaan diletakkan terhadap pemain itu amat ditagih dalam perlawanan Isnin nanti.
Enggan menuding jari ke mana-mana pihak, namun jurulatih K Devan semestinya mempunyai perancangan tersendiri dengan tidak menurunkan ketiga-tiga pemain di atas dalam dua perlawanan terdahulu.
Namun, perlu diingati bahawa JDT merupakan sebuah pasukan yang bagus dan sasarannya tidak lain dan tidak bukan mahu merobek gawang Negeri Sembilan menjelang pertemuan mereka minggu hadapan.
Pendedahan dan keserasian pemain menjadi tunjang sesebuah pasukan dalam mencapai kemenangan maka, diharap peluang dapat diberikan terhadap gandingan trio tempatan berkenaan dengan penyokong percaya mereka mampu membuktikan sesuatu sekiranya diberikan peluang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram