Kehadiran Pan-gon ubah Harimau Malaya — Hannah


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Hannah turut mengulas beberapa perkara lain, termasuk isu naturalisasi dalam skuad kebangsaan.

KEHADIRAN ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai pengendali skuad kebangsaan membawa banyak perubahan terhadap prestasi Harimau Malaya sejak dilantik pada pertengahan Februari tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia dapat dibuktikan apabila buat kali pertama sejak 43 tahun yang lalu, pasukan bola sepak negara berjaya melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 pada Jun tahun lalu.

"Beliau juga berjaya membuktikan kemampuannnya dengan membawa pasukan bola sepak negara mengharungi sehingga ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Justeru, kewujudan jurulatih asing bukanlah satu perkara baharu dalam arena bola sepak dunia dan pelantikan yang dilakukan adalah berdasarkan pengalaman dan rekod prestasi cemerlang bagi membantu atlet mempamerkan prestasi terbaik,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen pada Khamis.

introduce the new national  coach, Kim Pan Gon. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Pan-gon berjaya membantu skuad kebangsaan ke Piala Asia serta berada di ranking ke-145 FIFA. FAM

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan asal yang dikemukakan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan yang bertanyakan sama ada kementerian masih percaya dengan kemampuan jurulatih yang ada dan pemain-pemain naturalisasi berdasarkan pencapaian di Kejohanan AFF itu dan ranking terkini skuad Harimau Malaya.

Menurut Hannah, kehadiran pemain naturalisasi dalam sukan bola sepak negara juga bukan satu kerisauan kerana kementerian sentiasa bersama FAM untuk memastikan pembangunan pemain tempatan menjadi keutamaan melalui program pembangunan bola sepak negara.

Dari segi ranking semasa pula, Hannah berkata, pasukan bola sepak negara kini berada di tangga ke-145 di peringkat FIFA, tempat 25 peringkat Asia dan kedudukan kelima peringkat Asean.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Kalam sama ada KBS bercadang untuk mengadakan kembali liga bola sepak di peringkat daerah bagi memeriahkan aktiviti untuk anak muda di daerah-daerah, khususnya di kawasan luar bandar, Hannah berkata, beliau akan membincangkan perkara itu bersama FAM.

"Saya percaya menerusi inisiatif baharu dalam Belanjawan 2023, geran padanan akan membolehkan lebih banyak lagi aktiviti sukan di peringkat akar umbi seperti yang dicadangkan,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana geran padanan berjumlah RM50 juta diperuntukkan bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan khususnya berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram