SKUAD Kedah Darul Aman (KDA) FC memulakan kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan cukup sempurna apabila meraih kemenangan kedua ketika menentang Terengganu FC 1-0, Selasa lalu dengan jaringan tunggal pada minit-minit akhir perlawanan hasil penyudah pemain tengah, Fadzrul Danel.
Selepas bergelut sepanjang 90 minit permainan, kesilapan benteng pertahanan Sang Penyu memberi peluang terbaik buat pasukan Utara tanah air itu untuk mendapatkan tiga mata.
Gol kemenangan yang berjaya membolosi gawang Sang Penyu. — Facebook
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Sang Kenari berada di kedudukan keempat Liga Super dengan hanya perbezaan jaringan pendahulu, Sabah FC, disusuli Selangor FC dan juara bertahan, JDT di tangga ketiga
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu dijangka terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok lima pasukan teratas dalam carta apabila bakal menerima kunjungan PDRM FC di laman sendiri pada Sabtu.
Walaupun skuad Sang Saka Biru hanya menamatkan kempen Liga Perdana musim lepas di tangga keenam, persembahan yang agak baik ditunjukkan dalam dua perlawanan pembukaan berdepan Sabah FC dan Perak FC.
Malah berkemungkinan. Nafuzi Zain akan merehatkan tonggak utama pasukan, sekali gus membuka ruang kepada pemain lain untuk merebut kesebelasan utama dalam perlawanan ketiga Liga Super itu.
Namun, rata-rata penyokong Sang Kenari memberi pendapat agar tidak memandang rendah kemampuan skuad Sang Saka Biru yang ketika ini berada di tangga ke-11.
Tetapi, bagi seorang peminat setia Hijau Kuning, Mohd Anas, pertukaran pemain adalah penting, lebih-lebih lagi dengan perlawanan yang semakin sengit selepas ini.
"Bagi saya tak perlu semua digantikan, hanya player yang tak berapa cergas saja, kasi rehat Manuel Ott dengan (Manuel) Hidalgo bagi rehat dulu masukkan Balotelli dengan Fadzrul Danel," katanya.
Manuel Ott yang juga merupakan kapten skuad Sang Kenari difahamkan mengalami kecederaan ringan, namun terpaksa diturunkan ketika berdepan Terengganu FC.
Dalam dua perlawanan setakat ini, pemain kebangsaan Filipina itu sudah berada dalam kesebelasan utama, tetapi dipilih untuk digantikan menjelang tiupan wisel penamat.
Bagi Hidalgo pula, Nafuzi sudah memilih untuk memberikannya minit permainan berharga meskipun dia masih belum dapat mengulangi sentuhannya di hadapan pintu gol seperti mana yang dipamerkan bersama Sri Pahang FC sejak dua musim lalu.
Jadi, dengan Balotelli dan Fazrul Danel masih belum berada dalam kesebelasan utama setakat ini, ia adalah peluang terbaik bagi barisan kejurulatihan Sang Kenari ketika berdepan PDRM FC.
Menariknya, kedua-dua mereka sudah berjaya mencetak jaringan peribadi musim ini meskipun hanya diperkenalkan dalam pasukan menjelang babak-babak terakhir permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram