Kecewa tengok Kelantan kena belasah, Nixon cuba 'pancing' Bos Zam atau masih rindu TRW?


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Antara pemain Kelantan FC yang diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Sri Pahang FC. — Facebook

SRI Pahang FC (SPFC) memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri apabila menang bergaya 4-1 menentang Kelantan FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Khamis.

Kelantan FC hanya memperoleh jaringan tunggal melalui pemain pertahanannya, Miguel Angel Garrido Cifuentes pada minit ke-95 namun ia tidak cukup untuk membantu skuad The Red Warriors (TRW) memperoleh sebarang mata.

Ini menyaksikan pasukan Kijang Merah terus dihimpit kekecewaan selepas tewas dua kali berturut-turut dalam dua aksi pertama termasuk perlawanan sulung menentang Kuching City FC, tempoh hari.

Rata-rata penyokong Kelantan FC meluahkan rasa tidak puas hati terhadap persembahan pemain dan berpendapat Ketua Jurulatih TRW, Choi Moon Sik perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan pasukan daripada terus berada di tangga tercorot.

Dalam banyak-banyak komen yang ditinggalkan penyokong di hantaran keputusan masa penuh perlawanan di Facebook TRW Kelantan FC, ada satu komen yang menarik perhatian ramai yang mana ia dibuat oleh bekas pemain TRW, Nixon Guylherme.

70027eaa-2669-4ffb-ba7a-df0be187bae1

Komen Nixon berhubung kekalahan TRW ke atas Sri Pahang FC. — Facebook

"What happen? (Apa yang terjadi) Zammmmmm," tulisnya dengan merujuk pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berhubung kekalahan pasukan TRW.

Komen tersebut memberikan gambaran Nixon seolah-olah masih merindukan pasukan dan masih mengambil berat tentang bekas majikannya meskipun tidak lagi berkhidmat dengan skuad Kijang Merah.

Sebelum ini pun, bekas penyerang dari Brazil yang memakai jersi nombor 9 di TRW itu mengakui dia masih merindukan aura luar biasa di Kota Bharu selepas diumumkan tidak lagi bersama Kelantan FC bagi musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu terpaksa disisihkan daripada skuad selepas satu musim yang kurang memberangsangkan berikutan isu kecergasan dan masalah kecederaan yang dialaminya.

Tidak dapat dipastikan sama ada komen Nixon itu mahu memancing perhatian Norizam agar memberikan dia peluang sekali lagi menyarungkan semula jersi TRW lantaran pemain tersebut masih berstatus ejen bebas.

nixon

Hantaran di Instagram Nixon sebelum ini seakan-akan memberi bayangan bahawa kerinduan terhadap pasukan tidak pernah terpadam. — Instagram

Walaupun jendela perpindahan pertama sudah ditutup, ada kemungkinan Nixon merisik tempat untuk jendela perpindahan kedua pada pertengahan musim nanti.

Sementara itu, ada penyokong yang membalas komen Nixon dengan mengatakan bahawa percaturan Moon Sik pada aksi berkenaan kurang berhasil kerana persembahan pemain nampak lebih baik pada babak kedua perlawanan selepas pemain gantian dimasukkan.

Moon Sik juga dikatakan masih belum memiliki kesebelasan terbaik untuk diturunkan pada aksi berkenaan. kerana pemain import belum mendapat keserasian sepenuhnya.

Untuk rekod, perlawanan TRW dan Sri Pahang FC itu merupakan pertemuan sulung selepas lebih empat tahun tidak bertembung dalam Liga Malaysia.

Pada pertembungan terakhir dua kelab Pantai Timur itu di pentas Liga Super pada 2018, Kelantan berjaya mengalahkan Sri Pahang 2-1 dan selepas itu, kedua-dua pasukan berkenaan tidak bertembung lagi dalam Liga M. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram