'Mana hute kawe', bekas pemain Kelantan bersuara lagi, petik KAFA isu tunggakan gaji


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Zulfahmi (diri, dua dari kanan) pernah beraksi bersama Kelantan FA selama semusim. — Instagram/zul_fahmiawang

KEPULANGAN Kelantan FC ke divisyen teratas bola sepak tempatan sudah pasti cukup menggembirakan penyokong selepas hampir tiga musim terpaksa berada di Liga Perdana.

Kegagalan pihak pengurusan terdahulu dalam mengendalikan urusan kewangan pasukan dengan baik menyaksikan masalah tunggakan gaji 'membunuh' kelab yang pernah berada di puncak tertinggi pada awal dekad lalu.

Isu tersebut dilihat cukup meruncing sehingga menarik perhatian FIFA yang mengarahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengenakan tindakan setimpal.

Namun, sejak usahawan kelahiran Johor, Norizam Tukiman mengambil alih pada 2020, Kelantan FC difahamkan tidak lagi terpalit dengan masalah kebajikan itu.

Walaupun terdapat khabar angin yang kurang enak didengar, tindakan segara kerap diambil pihak pengurusan ketika ini bagi memastikan zaman kegemilangan The Red Warrior (TRW) berjaya dikembalikan.

Persoalannya, adakah pentadbiran terdahulu sudah menyelesaikan segala tunggakan terhadap bekas pemain dengan ada yang masih tidak henti-henti berharap nasib mereka akan terbela.

Berdasarkan pemerhatian, masalah tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya apabila masih terdapat pihak yang belum berputus asa bagi mendapatkan hak mereka.

Antaranya, bekas penyerang Kelantan FA, Zulfahmi Awang yang pernah beraksi bersama pasukan Pantai Timur itu untuk semusim pada 2019.

WhatsApp Image 2023-03-02 at 15.41.58 (1)

Zulfahmi menyuarakan kekecewaannya terhadap pihak KAFA ke atas isu tunggakan gaji mereka. Instagram/zul_fahmiawang

Menerusi satu hantaran di Instastory miliknya, pemain berusia 30 tahun itu seakan-akan mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk tidak melepaskan tanggungjawab itu.

"Lama sudah rasanya tidak minta hutang dengan Kelantan FA (KAFA). Saya ulang sekali lagi, KAFA. Jangan salah faham pula dengan mengatakan saya minta dengan Kelantan FC.

"Mana hutang saya tu KAFA? Kita senyap-senyap sahaja, risau mereka akan berasa terlalu senang hati," tulisnya pada Khamis.

Sebelum ini, penyerang kelahiran Gua Musang, Kelantan itu juga pernah bertanya akan masalah berkenaan pada 2020 dengan mengatakan bahawa dia pernah beraksi meskipun tidak menerima sebarang pembayaran.

Beberapa pemain lain juga pernah menyuarakan kekecewaan ke atas masalah sama, termasuk bekas import Korea Selatan, Kang Seung-jo yang menuntut bayaran melebihi RM60,000.

Perkara tersebut turut diluahkan Norizam pada 2022 apabila dia bertindak menyaman persatuan itu kerana masih berhutang dengannya sebanyak RM3.39 juta.

Di samping pernah beraksi bersama Kelantan FA, Zulfahmi juga pernah berkhidmat bersama beberapa pasukan Liga Malaysia, termasuk Felda United dan Sime Darby FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram