Ada yang komplen stamina peledak berbisa TRW, namun ketajaman penyudah tetap pengubat hati fans


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Nurshamil (kiri) disisihkan bagi memberi peluang kepada Nuha Marong dalam aksi pembukaan Liga Super Sabtu lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC

NAIB juara Liga Perdana 2022, Kelantan FC memulakan kempen liga musim ini dengan langkah kiri selepas tumpas 1-2 di tangan Kuching City FC.

Walaupun berjaya menggegarkan gawang lawan terlebih dahulu, kealpaan benteng pertahanan The Red Warrior (TRW) jelas merugikan pasukan.

Bagi sesetengah penyokong, mereka berasakan kekecewaan itu berpunca daripada kegagalan ketua jurulatih, Choi Moon-sik untuk mencipta keserasian antara pemain.

Namun, sebahagian besar daripada pengikut fanatik Kelantan FC menunding jari ke arah penyerang kelahiran Gambia, Nuha Marong yang gagal memberi impak positif buat pasukan.

Di samping terlalu mudah membenarkan pihak lawan mencuri bola, pemain tinggi lampai itu juga dilabel sebagai seorang yang tidak mahu memberi tekanan buat rakan sepasukan.

Jadi, tidak timbul sebarang persoalan apabila adanya desakan daripada ramai pihak yang mendesak Moon-sik untuk tidak menurunkannya ketika perlawanan akan datang.

Tetapi, melihat kepada skuad sedia ada, Kelantan FC sepertinya tidak mempunyai pilihan untuk menggantikan Marong dengan hanya penyerang kelahiran Melaka, Nurshamil Abd Ghani berada di bangku simpanan.

333800568_2221871891329782_1724418107298960084_n

Persembahan Nurshamil ketika berdepan Kuching City FC menimbulkan tanda tanya. Facebook/TRW Kelantan FC

Meskipun muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana musim lepas, pemain berkenaan mula disisihkan penyokong apabila kerap memberikan persembahan kurang bersemangat setiap kali diturunkan.

Pandangan tersebut dilontarkan seorang penyokong TRW, Muhd Safwan yang tidak berpuas hati dengan rentak permainannya ketika beraksi pada separuh masa kedua ketika menentang Kuching City FC.

"Bukan apalah, tetapi, saya cuma tertanya-tanya. Nurshamil ni dia bermain untuk 90 minit ke? Saya nampak dia sepertinya lebih penat berbanding pemain lain," katanya.

Bagaimanapun, pendapat tersebut seakan-akan ditolak mentah-mentah oleh majoriti besar penyokong Kelantan FC yang masih percaya dengan kemampuan penyerang bertubuh sasa itu.

"Dia ni seorang pemain yang mempunyai kelebihan dari segi penyudah. Bukanlah seorang yang rajin berlari," kata Rosman Ahmad Farouq.

"Bukankah gaya permainannya sememangnya begitu? Dia bukanlah seorang pemain yang boleh beraksi untuk 90 minit. Kurang dari segi pecutan, namun kedudukannya di hadapan pintu gol cukup baik," kata Azim Rosdi.

"Pada saya, itu sahaja kekurangan Nurshamil ni. Penyudahnya bagus, tetapi bab kecergasan mungkin kurang sedikit. Rakan sepasukan perlu buat hantaran lebih baik," kata Che M Saufi.

Musim lepas, Nurshamil menerima gelaran tersebut selepas menjaringkan sembilan gol dalam Liga Perdana meskipun kerap disisihkan berikutan isu kecergasan.

Dia pastinya berharap untuk diletakkan dalam kesebelasan utama dalam aksi kedua Liga Super apabila Kelantan FC bakal berdepan Sri Pahang FC di tempat lawan pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram