Tak puas hati kena 'lauk', bas penyokong JDT diserang 'casual' KL


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Keadaan tingkap bas penyokong JDT selepas dipercayai dibaling batu oleh beberapa penyokong casual KL City.

PERLAWANAN bola sepak antara Kuala Lumpur City dan Johor Darul Takzim (JDT) yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya menewaskan pasukan tuan rumah dengan jaringan 3-0 dalam aksi Liga Super pada Rabu.

Membariskan pasukan terkuat, skuad Harimau Selatan yang dipimpin Estaban Solari tidak berhadapan masalah menguasai perlawanan walaupun beraksi dalam keadaan hujan renyai dan padang basah.

Malah, JDT tidak menunjukkan belas ihsan apabila terus melancarkan serangan bertali arus sebaik perlawanan bermula, sekali gus memaksa skuad pimpinan Bojan Hodak berkampung di kawasan sendiri.

Tiga gol tersebut dijaringkan oleh jaringan sendiri Romel Morales pada minit ke-41, manakala dua lagi hasil tandukan dan tampanan deras oleh Endrick dos Santos dan Arif Aiman.

Namun, kekalahan skuad 'The City Boys' itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong 'casual' yang hadir ke stadium.

Sebaik permainan tamat, sebahagian penyokong terbabit bertindak melempar batu dan kayu pada cermin bas yang membawa penyokong pelawat semasa dalam perjalanan keluar daripada pekarangan stadium.

Beberapa penyokong JDT mendakwa bas mereka dibaling oleh kumpulan penyokong tuan rumah yang digelar casual ekoran tidak berpuas hati tewas di laman sendiri.

Selain itu, peminat yang berada di dalam stadium terlebih dahulu dibaling dengan pelbagai objek seperti botol air dan juga bekas makanan.

Untuk rekod, gelaran penyokong casual digunakan bagi menggambarkan penyokong biasa yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak tanpa dipengaruhi sentimen fanatik.

Kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku dalam saingan Liga Malaysia apabila tahun lalu penyokong Selangor turut mengalami nasib sama selepas aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia menentang Terengganu.

Difahamkan, setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan atau sebarang tindakan yang dikenakan daripada mana-mana pihak berkenaan kejadian yang berlaku itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram