'Import coach luar, sign De Paula', Melaka ditanya bila nak bayar gaji?


  • Podium
  • Isnin, 27 Feb 2023

De Paula musim ini akan bermain bersama Melaka FC dalam Liga M3. — Facebook

PASUKAN Melaka FC akhirnya memperkenalkan pemain-pemain baharu mereka yang akan beraksi dalam Liga M3 selepas lesen kebangsaan ditolak akibat isu gaji.

Perkara itu selepas badan pengendali liga menerusi 'First Instance Body' (FIB) menolak rayuan Melaka FC sekali gus menyaksikan mereka 'diharamkan' daripada menyertai Liga Super bermula musim ini.

Menerusi laman Facebook rasmi Melaka Football Club, pihak pengurusan mengumumkan 24 pemain mereka dalam satu video.

Pemain-pemain yang menjadi tumpuan penyokong tempatan ialah kelibat Guilherme de Paula, Syahrul Azwari, S. Veenod yang mana mereka merupakan bekas pemain kebangsaan.

Selain daripada pengenalan pemain, penyokong turut mempertikai kemasukkan dua jurulatih asing sedangkan ketika ini Melaka FC dibelenggu masalah gaji.

Melaka FC yang bermain dalam Liga M3 musim ini akan dikendalikan oleh jurulatih kelahiran Portugal, Pedro Manuel manakala seorang lagi jurulatih asing ialah Tiago Moreira yang akan menjawat jawatan sebgai jurulatih kecergasan.

Melaka FC

Barisan pemain-pemain Melaka FC musim ini. — Facebook

Namun dalam kerancakan pihak pengurusan membawa masuk pemain-pemain ternama, penyokong mula memberi peringatan kepada Melaka FC supaya tidak lupa akan gaji yang tertunggak.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen Facebook, penyokong Melaka mahu pihak pengurusan segera menjelaskan isu gaji tertunggak agar nama skuad Hang Tuah tidak lagi buruk dalam kancah bola sepak negara.

"Gaji confirm boleh bayar ke? Pasukan lain semua ke depan, yang satu ini sahaja jalan mengundur," luah Adenan Ramli.

"Coach dua orang dia import, pinjam De Paula dekat JDT, gaji pemain lama jangan lupa nak bayar pula," jelas Mohd Ammar.

"Satu-satunya team yang main bola tiada tujuan, lepas itu bab gaji dia nombor satu pusing cerita," ujar Rasip Buss.

"Ini ada duit ke nak bayar bekas pemain-pemain kebangsaan itu?" soal Muhamad Syuk.

Melaka FC antara 14 pasukan lain yang akan mencabar kejuaraan Liga M3 bersama PIB Shah Alam FC, Armed Forces FC, Malaysia University FC, Bukit Tambun FC, Kuala Kangsar BRM FC, Melaka FC dan Manjung City FC.

Turut terlibat dalam liga berkenaan ialah Harini Selangor FT, Perlis United FC, Kuala Lumpur Rover FC, Naga Ultimate KS FC, Imigresen FC, SAIN FC dan Sarawak United FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram