Tiga bomoh yang boleh LTK panggil untuk elak badi gol Perak FC


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Perak FC gagal mengutip tiga mata penuh dalam dua perlawanan Liga Super. — Facebook/Perak FC

SEBELUM ini Ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim, meratapi kegagalan anak buahnya memungut mata penuh di Stadium MBPJ dengan berseloroh bahawa mereka mungkin memerlukan bantuan bomoh dari Indonesia.

Meskipun memberikan persembahan menarik, namun skuad The Bos Gaurus dirasakan mensiakan-siakan peluang untuk mengumpul tiga mata berharga dalam perlawanan menentang PDRM FC yang baru 'naik' pangkat ke Liga Super musim ini.

Untuk perlawanan pertama, rata-rata peminat tidak begitu terkesan dengan keputusan diperolehi memandangkan ia membabitkan pertemuan bersama kelab utama Liga Super iaitu Kedah, apatah lagi Skuad Seladang juga bermain dengan 10 pemain seawal minit ke-36.

WhatsApp Image 2023-03-02 at 17.56.25

Teong Kim dilantik sebagai ketua jurulatih Perak FC musim ini. Facebook/Perak FC

Namun begitu, keputusan seri tanpa jaringan menentang PDRM FC dalam aksi perlawanan kedua pada Selasa mula menimbulkan keraguan terhadap keupayaan skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim itu untuk bersaing di Liga Super.

Malah, Teong Kim dalam temu bual sejurus selepas perlawanan juga seakan-akan hilang kata-kata untuk menjelaskan mengenai keputusan yang dicapai apabila dengan berseloroh mengatakan Perak FC memerlukan khidmat 'bomoh Indonesia' untuk menambah baik prestasi pasukannya.

Ini tiga bomoh yang Teong Kim boleh guna untuk pasukan Perak:

WhatsApp Image 2023-03-02 at 17.56.55

Raja Bomoh sedang melakukan ritual mencari pesawat MH370 menggunakan buah kelapa.

1. Ibrahim Mat Zin (Raja Bomoh)

Masihkan anda semua ingat dengan bomoh kelapa?

Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin pernah membuat ritual mencari pesawat MH370 yang hilang serta melakukan upacara tolak banjir sehingga mendapat perhatian ramai.

Raja Bomoh sebelum ini pernah mendapat perhatian seluruh dunia apabila dia membuat ritual menggunakan buah kepala untuk mencari pesawat yang hilang.

Selain daripada mencari MH370, Ibrahim turut pernah mencetuskan kontroversi apabila duduk di satu tempat bersama seorang wanita ingin menghalau musibah banjir.

Raja Bomoh mungkin boleh membantu pasukan Teong Kim mencari formula terbaik untuk menjaringkan gol atau mencari 'apa yang hilang' dalam skuad itu.

WhatsApp Image 2023-03-02 at 17.57.29

Rara Istiani (kanan) tular di seluruh dunia apabila wajahnya terpapar ketika Saingan MotoGP di Indonesia yang mana ketika itu dia sedang melakukan ritual menghalau hujan.

2. Rara Istiani Wulandri (Bomoh Hujan)

Bukan sahaja di negara kita ada Raja Bomoh tetapi di Indonesia turut mempunyai seorang pawang yang didakwa boleh memberhentikan hujan.

Rara Istiani tular di seluruh dunia apabila wajahnya terpapar ketika Saingan MotoGP di Indonesia yang mana ketika itu dia sedang melakukan ritual menghalau hujan.

Dia dirakam berjalan di kawasan pit dan menuju ke grid sambil memegang mangkuk sewaktu menjalankan ritual tolak hujan.

Ini kerana keadaan hujan lebat memaksa perlumbaan kelas premier tergendala lebih satu jam.

Bagaimanapun, hujan di Lombok tidak berhenti seperti diharapkan namun cukup untuk membolehkan perlumbaan berlangsung.

Mungkin Rara boleh panggil hujan untuk membantu Perak FC bermain dengan padang becak bagi menyukarkan pihak lawan bermain secara teratur.

WhatsApp Image 2023-03-02 at 18.08.15

Pak Lang dikatakan mempunyai kemahiran untuk memindahkan kanser pesakit kepada pokok.

3. Pak Lang (Bomoh Kanser)

Terdahulu seorang lelaki dikenali sebagai Pak Lang mendakwa dirinya sebagai pengamal perubatan Islam melakukan ritual membuang kanser payudara daripada seorang gadis.

Video yang tular sebelum ini memaparkan Pak Lang 'memindahkan' barah payudara pesakit tersebut ke pokok.

Dalam kejadian yang berlaku di Taman Samudera, Seri Manjung, Perak itu menunjukkan Pak lang sedang melakukan ritual dengan menggerak-gerakan tangannya sambil mulutnya dilihat terkumat-kamit membaca sesuatu.

Namun tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan penyakit itu selepas merawat dengan Pak Lang.

Jika Teong Kim berminat mungkin boleh memanggil Pak Lang untuk menarik badi gol pasukan Perak ke dalam pokok.

Namun perbuatan individu-individu di atas merupakan satu perbuatan syirik yang menyalahi hukum agama Islam dan tidak boleh menjadi ikutan orang mukmin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram