SAINGAN aksi kedua Liga Super pastinya tertumpu di antara pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bertemu Terengganu FC (TFC) pada Rabu.
Pertembungan itu akan menyaksikan beberapa pemain bakal bertemu bekas rakan pasukan masing-masing di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Manuel Ott dan Lee Tuck sudah pastinya menjadi bualan penyokong pelawat apabila kedua-dua pemain itu pernah mencipta nama bersama skuad Penyu.
Nafuzi (kiri) akan bertemu Tomislav (kanan) buat pertama kalinya selepas bekerjasama di Terengganu pada musim lalu.
Selain pemain Kedah, penyokong lawan pastinya turut merindui kelibat bekas ketua jurulatih mereka, Nafuzi Zain yang kini membimbing skuad Hijau Kuning.
Dalam aksi pembukaan liga, TFC gagal mengutip sebarang mata apabila tewas kepada Johor Darul Takzim dengan keputusan 0-2 di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.
Manakala Nafuzi Zain pula berjaya menewaskan skuad The Bos Gaurus dengan jaringan besar 4-1 di Stadium Perak pada Sabtu.
Pada perlawanan Rabu nanti, empat pemain yang bakal diberi tumpuan berdasarkan aksi cemerlang mereka bersama pasukan masing-masing.
Manuel Ott berjaya menghasilkan tiga assist ketika bertemu Perak FC pada Sabtu. — Facebook/KDA FC
1. Manuel Ott
Baru sahaja dilantik sebagai Ketua Pasukan KDA FC, Ott sudah membuktikan kredibilitinya sebagai jeneral di atas padang.
Tiga dari empat gol yang dihasilkan Kedah dalam perlawanan bertemu Perak adalah bantuan hasil gerakan Ott yang melihat peluang terbaik mendapatkan gol buat Sang Kenari.
Ketika bersama TFC, Ott menjadi perancang tengah yang membina serangan skuad Penyu sehingga berjaya menghasilkan gol.
Adakah Ott sekali lagi akan menunjukkan magisnya dengan hantaran berbahaya sekali gus mengecewakan seluruh penyokong TFC yang sekurang-kurangnya mahukan satu mata di tempat lawan?
Bersama TFC, Ott berjaya menjaringkan enam gol, tujuh assist dalam 32 perlawanan sepanjang mewakili pasukan itu.
Willian Lira berjaya menghasilkan satu gol ketika menentang Perak FC pada Sabtu. — Facebook/KDA FC
2. Willian Lira
Pemain kelahiran Brazil ini sudah membuktikan sentuhannya bersama Sang Kenari apabila berjaya menjaringkan beberapa gol dalam aksi pra musim tempoh hari.
Lira yang sebelum ini beraksi di Liga Jepun bersama Ventforet Kofu dilihat sudah mula serasi dengan taktikal yang diterapkan oleh Nafuzi.
Ia dibuktikan apabila Willian berjaya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti apabila hantaran satu duanya bersama Ott dikasari pemain pertahanan Perak.
Pemain berusia 29 tahun ini bakal menjadi duri dalam daging Terengganu jika benteng pertahanan tidak mengawasi gerakan lincahnya.
Sony berjaya berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan JDT pada perlawanan Piala Sumbangsih pada Jumaat. — Facebook/TFC
3. Sony Norde
Walaupun TFC tewas di tangan JDT tidak boleh disangkal lagi kehebatan pemain kelahiran Haiti ini apabila sering mendatangkan bahaya buat skuad Harimau Selatan itu.
Sony bukanlah nama asing bagi peminat bola sepak tempatan kerana dia sebelum ini beraksi bersama pasukan Melaka United selama tiga musim berturut-turut.
Pastinya kelicikan dan ketajaman penyudah yang dimiliki oleh pemain itu menjadi pilihan Tomislav Steinbruckner untuk berhadapan dengan Kedah di halaman sendiri.
Bersama Terengganu, Sony belum berjaya menghasilkan sebarang jaringan gol mahupun mencipta assist buat pasukannya.
Aksi cemerlang Liridon pastinya ditagih Tomislav untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata di Stadium Darul Aman pada Rabu. — Facebook/TFC
4. Liridon Krasniqi
Pemain naturalisasi kebangsaan ini bakal kembali ke bumi Darul Aman selepas hampir enam tahun meninggalkan pasukan Kedah.
Pada perlawanan pembukaan liga pada Jumaat, Liridon tidak dapat beraksi ekoran syarat pinjaman yang dipersetujui kedua-dua pasukan yang mana pemain JDT berstatus pinjaman tidak boleh beraksi menentang skuad Harimau Selatan.
Namun sebelum ini Liridon sudah mula beraksi bersama Terengganu dalam dua aksi persahabatan menentang kelab Denmark, Odense Boldklub dan Chonburi FC (Thailand).
Nyata persembahan yang ditampilkan oleh Liridon mendapat pujian penyokong Terengganu apabila dia berjaya mengawal bahagian tengah dengan tenang.
Bertemu Kedah merupakan ujian sebenar buat Liridon untuk membutikan bahawa dia masih pemain yang berkaliber sekali gus berjaya menarik perhatian Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menyenaraikannya kembali ke dalam skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram