
KEGHAIRAN skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencari gol seperti aksi menentang Perak FC tempoh hari, tidak dapat dilihat pada perlawanan kedua Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu.
Meskipun beraksi di laman sendiri dengan kehadiran lebih 20,000 penyokong, skuad Sang Kenari hanya berhasil menghadirkan gol pada minit-minit terakhir perlawanan.
Kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga minit ke-90 walaupun ada peluang untuk berbuat demikian sehinggalah pemain gantian KDA FC, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam yang dibawa masuk menggantikan kapten pasukan, Manuel Ott memecah kebuntuan Sang Kenari.
Untuk rekod, gol tersebut merupakan gol sulung Fadzrul Danel di pentas Liga Super selepas kali terakhir menjaringkannya pada 2019.
Pemain berusia 25 tahun itu membalas kepercayaan Nafuzi Zain yang memasukkannya pada babak terakhir perlawanan dengan membuat rembatan deras ke arah pintu gawang sekali gus menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.
Aksi pasukan KDA FC ketika menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman pada Rabu. — Facebook
Kesilapan penyerang Sang Kenari, Willian Lira ketika bertembung dengan Suhaimi dimanfaatkan sepenuhnya pemain tengah itu untuk membuat jaringan sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat KDA FC untuk kekal berada di kelompok tiga teratas Liga Super.
Penyokong KDA menyifatkan Fadzrul Danel masih memiliki 'striker instinct' kerana dia sebelum ini pernah menjadi wira apabila jaringan tunggalnya membolehkan Kedah menundukkan Perak 1-0 pada aksi final Piala FA 2019.
Di sebalik kemenangan tipis KDA FC, ada penyokong yang kurang berpuas hati dengan persembahan tonggak naturalisasi, Lee Tuck yang kurang tajam pada perlawanan tersebut kerana gagal menyudahkan gol dengan baik.
Lee Tuck memiliki beberapa percubaan untuk membuka akaun jaringan KDA FC pada separuh masa pertama, namun kesempatan tersebut tidak digunakan sebaik mungkin untuk membolehkan Sang Kenari berpesta di laman sendiri.
Sementara itu, Nafuzi ketika mengulas perlawanan itu berkata, ia bukanlah aksi terbaik daripada pasukan KDA namun rezeki menyebelahi mereka untuk membolehkan pasukan memperoleh tiga mata.
"Terengganu main bagus malam ini, Kedah pula pada awal nampak main agak relaks," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram