SKUAD Kuching City FC menunjukkan taring apabila memperoleh tiga mata ketika menentang Kelantan FC, pada Sabtu lalu.
Dikatakan jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti bakal membuat kejutan dalam perlawanan seterusnya ekoran kemenangan 2-1 ke atas pasukan The Red Warriors.
Namun begitu, ia bukan jalan mudah buat pasukan The Cats kerana mereka bakal berhadapan dengan Selangor FC yang memiliki rekod agak baik selepas mempamerkan aksi tanpa kalah untuk baki musim lepas selepas tampuk kejurulatihan di ambil alih oleh Tan Cheng Hoe.
Walaupun dianggap pasukan underdog, penyokong Selangor tetap berasakan Kuching City bakal memberikan saingan sengit kepada pasukan Gergasi Merah.
Aksi pertama Liga Super, Kuching City sewaktu bertemu Kelantan FC.
Sebahagian penyokong Selangor berpendapat Kuching City yang dibimbing Irfan memiliki kekuatan tersendiri memandangkan skuad itu mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman tersebut selama tiga musim berturut-turut.
Dengan prestasi itu, penyokong The Red Giants dikatakan gerun dengan sentuhan Irfan yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam bola sepak Malaysia.
Hal ini kerana, Irfan yang berpengalaman sebagai jurulatih Selangor FC pada tahun 2012 sudah pasti mengetahui corak atau taktik yang bakal digunakan dalam perlawanan berkenaan.
Melalui perkongsian Selangor Fanatik Official, pasukan itu gerun dan resah dengan kebangkitan yang ditunjukkan oleh Kuching City walaupun ia dikenali sebagai pasukan yang tidak menyerlah musim lepas.
Irfan antara jurulatih berpengalaman di Malaysia yang pernah mengendali pasukan Selangor FC.
"Untuk pasukan ini sebenarnya bukan pemain yang menjadi igauan kita tetapi ketua jurulatih yang sedikit meresahkan.
"Nama yang tidak asing lagi kerana pernah menjadi ketua jurulatih bagi pasukan Gergasi Merah.
"Kalau diselidiki, rekod jurulatih yang berasal dari Perak itu dikatakan kekalahan dalam pasukan pimpinannya boleh dikira dengan jari berbanding kemenangan atau seri yang sudah sebati," katanya.
Ketika ditanya dalam satu temu bual santai apabila pernah menjadi jurulatih bagi pasukan Felda United ketika menentang Selangor FC, Irfan berkata, Selangor biasanya akan bermain dengan corak permainan yang sama, tidak mempunyai evolusi atau revolusi.
Pemain utama mereka akan bermain posisi tengah dan pemain lain akan hilang punca dan tidak dapat menjaringkan gol.
Kini, persaingan antara pasukan Borneo itu dan Gergasi Merah dikatakan sengit kerana Kuching City FC berada di tempat keempat dengan tiga mata manakala Selangor berada satu kedudukan lebih bawah, juga dengan tiga mata.
Kedua-dua pasukan tersebut hanya dibezakan dengan jumlah kutipan gol yang mana Kuching City FC memiliki kelebihan satu gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram