Status terkini kapten Warga Kota bikin fans HM risau, harap tak jadi De Paula 2.0 selepas dapat IC


  • Podium
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Josue (tengah) mula beraksi dalam Liga Malaysia pada tahun 2017 bersama KL City dan menggalas tugas sebagai kapten. — Gambar Instagram/Josue

SELEPAS enam tahun menyumbang kudrat dan tenaga untuk pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam arena bola sepak tanah air, kapten kelab, Paulo Josue bakal diberikan status pemain naturalisasi negara dalam masa terdekat.

Meskipun ia belum disahkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Stanley Bernard mengumumkan perkara itu melalui satu wawancara bersama pihak media pada Jumaat.

Pemain berketinggian 1.83m itu mula beraksi dalam Liga Malaysia pada tahun 2017 bersama KL City dan menggalas tugas sebagai kapten pasukan tersebut.

Sepanjang kariernya, pemain berasal dari Brazil tersebut beraksi dengan cemerlang bersama skuad Warga Kota.

Selain itu, Josue turut memainkan peranan penting dalam memberi impak kepada pasukannya yang berjaya mara ke pentas akhir Piala AFC musim lalu sebelum tewas kepada kelab dari Oman, Al Seeb pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Namun, keputusan mendapatkan status kewarganegaraan bagi pemain itu dilihat seperti satu pembaziran ekoran perbelanjaan dibuat pihak pengurusan kurang meyakinkan.

Pada masa sama, Josue yang berumur 33 tahun sudah dianggap 'terlalu tua' oleh segelintir penyokong bola sepak tanah air.

Seorang penyokong tegar pasukan Harimau Malaya, Addie Ruvy Winchyster, turut mempersoalkan keputusan pemain itu bertukar status sebagai pemain tempatan.

"Umur sudah 33 tahun untuk apa diberikan kad pengenalan Malaysia? Kalau muda pun nanti kena 'rembat' oleh Johor Darul Takzim (JDT).

"Selepas itu buat 'pekasam' seperti Guilherme de Paula. Rugi sahaja bagi kad pengenalan," katanya.

Al Riz pula berkata De Paula dan Josue sebelum ini berada dalam pasukan KL City, tak sangka akan dapat status pemain tempatan.

"Jika lihat kadar naturalisasi yang dilakukan setakat ini tak mustahil menjelang 2030, akan ada minimum 30 pemain naturilisasi bukan warisan dalam Malaysia," katanya.

Malah, ada dalam kalangan penyokong, Muhamad Zulhafiq berasakan pertambahan bilangan pemain naturalisasi dalam kancah bola sepak tempatan tidak memberi ruang dan peluang kepada anak tempatan yang berbakat untuk beraksi.

"Habis terpinggir bakat anak muda tempatan, mana tahu pemain boleh jadi setaraf David Beckham tetapi tetap percayakan 'awang import' juga," katanya.

Eryim Yim pula berasakan tindakan MFL dalam membuat keputusan itu adalah satu tindakan yang kurang bijak.

" Apa b*****g Malaysia ini, umur 33 tak perlu dah dibuat naturalisasi ini sebab kelab-kelab kecil yang terdesak ingin menjadikan pemain import mereka menjadi warganegara.

"Selepas itu slot pemain import akan menjadi kosong, perlu buat sesuatu pasal isu ini. Jangan sesuka hati bagi warga negara pada orang luar," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram