PERAK FC masih bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik sejak kepulangan mereka ke Liga Super apabila pasukan berkenaan masih mencari kemenangan pertama musim ini.
Selepas mencatatkan kekalahan memalukan di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC, skuad The Bos Gaurus (TBG) hanya perlu berpuas hati apabila terikat tanpa jaringan ketika bertemu PDRM FC.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada Selasa itu menyaksikan anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim gagal memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol lawan.
Keputusan itu membuktikan masih terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki barisan kejurulatihan sekiranya mereka mahu bersaing lebih baik di samping gergasi Liga Super.
Tetapi, mampukah penyokong Perak FC bersabar melihat kebangkitan secara perlahan yang cuba direncanakan pihak pengurusan setakat ini?
Manakan tidak, sejak awal jendela perpindahan lalu, Teong Kim kerap menekankan bahawa perjalanan masih jauh untuk pasukan tersebut mempamerkan belangnya.
Pendirian tersebut disusuli dengan tindakan pihak pengurusan membawa masuk pemain muda yang mana cukup sinonim dengan falsafah dan taktikal ketua jurulatih itu.
Hal berkenaan pastinya serba sedikit membangkitkan perasaan kurang senang dalam kalangan peminat setia TBG yang sudah terlalu lama merindui era kegemilangan pasukan.
Penyokong Perak FC perlu lebih realisitik terhadap kemampuan pasukan musim ini. — Facebook/Perak FC
Namun, bagi seorang penyokong, Solehin Mukmin, kepercayaan penuh perlu diberikan terhadap kemampuan dan perancangan kelab sejak kepulangan mereka ke divisyen teratas bola sepak tanah air.
"Aku fans luar pun sanggup untuk keluar duit dan habiskan masa lebih dari sejam untuk menyaksikan Perak FC secara langsung, tetapi bukan kerana mereka hebat sangat.
"Aku tengok kerana seronok melihat majoriti bakat tempatan dalam pasukan mereka. Harap penyokong sedar bahawa Perak FC sedang dalam proses membina semula di bawah jurulatih dan pengurusan baharu," katanya.
Dalam dua aksi awal Liga Super, sokongan tidak putus diberikan pengikut setia kelab yang pastinya cukup merindui dalam melihat pasukan kesayangan mereka itu.
Selepas bergelut dengan isu kewangan dari 2019 hingga 2021, nasib Perak FC akhirnya terjawab apabila mereka tersingkir ke Liga Perdana buat pertama kali.
Meskipun hanya menduduki tangga kedua tercorot liga, rombakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyaksikan skuad TBG berjaya mendapatkan tempat dalam divisyen teratas bola sepak tempatan.
Tambah Solehin lagi, penyokong juga perlu bersabar bagi memastikan pemain muda tidak terlalu tertekan dengan harapan menggunung yang diletakkan di bahu mereka.
"Pemain pun bukanlah setaraf bintang-bintang lain, ramai bakat muda yang pastinya memerlukan masa untuk bersinar. Bagi kelab asuh bakat dan buktikan kemampuan.
"Sabar yeop, tiba masa nanti, kita pastinya dapat saksikan hasil dituai dan jadi pencabar kepada pasukan dengan bajet lebih besar seperti Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC dan KDA FC. Tahniah juga atas clean sheet dan satu mata berharga," tulisnya.
Keputusan seri itu menyaksikan Perak FC menduduki tangga ke-10 selepas dua perlawanan dengan mereka berpeluang menambah baik situasi dalam pertembungan bersama Kelantan United FC Sabtu nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram