Bukan saja Mat Don, Sang Penyu juga bakal terima kepulangan jeneral masa bertemu Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Kehadiran Liridon diharapkan mampu membantu posisi tengah Terengganu FC ketika berdepan KDA FC.  — Facebook/Terengganu FC

PERLAWANAN tumpuan minggu kedua Liga Super menyaksikan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Rabu itu pastinya dinantikan penyokong bola sepak tanah air, terutamanya daripada kedua-dua pasukan.

Manakan tidak, pertembungan tersebut bakal menyaksikan ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain berdepan pasukan yang dikendalikannya pada 2022.

Selain itu, rekrut baharu Terengganu FC, Liridon Krasniqi juga akan membuat kepulangannya ke stadium keramat itu selepas pernah beraksi bersama Kedah FA selama beberapa tahun.

Tidak hairanlah, pengumuman daripada pihak pengurusan KDA FC yang mengatakan hampir 20,000 tiket sudah habis dijual bukannya sesuatu yang mengejutkan.

Tekanan besar pastinya dirasai skuad Sang Penyu yang masih mencari keserasian antara pemain selepas ditundukkan Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi pembuka tirai Liga Super 24 Februari lalu.

Kekalahan 0-2 yang dialami di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu semestinya menjatuhkan moral sebahagian besar penyokong dengan sebahagian daripada mereka mula mempersoalkan kemampuan Terengganu FC.

Tetapi, dengan kehadiran Liridon ke dalam skuad, pasukan Pantai Timur itu pasti semakin yakin untuk melakukan kejutan, sekali gus mencatatkan kemenangan pertama musim ini.

331410427_910166243658180_6208450323605937177_n

Adakah Faiz Nasir akan diturunkan ketika pertembungan bersama Kedah Darul Aman FC? Facebook/Terengganu FC

Semangat penyokong tegar Sang Penyu sekali lagi dibangkitkan apabila hantaran di laman sosial media pasukan memaparkan pasukan itu bakal menerima suntikan berbeza di atas padang.

Pemain tengah berusia 30 tahun, Faiz Nasir dikhabarkan sudah bersedia untuk diturunkan selepas sebelum ini mengalami kecederaan ketika tempoh pramusim.

Dia yang merupakan salah seorang tonggak pasukan musim lepas itu pastinya dapat membawa skuad Sang Penyu ke tahap berbeza, lebih-lebih lagi sekiranya digandingkan bersama Liridon.

"Faiz Nasir harapnya dapat diturunkan untuk menggantikan seorang lagi pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle. Digandingkan pula dengan Liridon dan (Domagoj) Pusic, Insya-ALLAH," kata Abahomestay Shah Alam Ahnaf.

"Musim ni, Faiz Nasir akan mencipta satu gandingan yang cukup baik bersama Liridon. Kalau tak percaya, boleh simpan komen ni dan kongsi semula pada penghujung musim," kata Izazul Fahmie.

Musim lepas, pemain kelahiran Kelantan itu mengumpul 11 penampilan Liga Super dan berjaya mencipta dua bantuan jaringan walaupun bergelut dengan isu kecergasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram