Rashford bukan penyerang tulen, Man United perlu dapatkan pengganti — Alex Ferguson


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Pengurus legenda itu juga sempat memuji kemampuan dan kematangan yang dipamerkan Rashford. — Agensi

BEKAS pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menegaskan bahawa bintang kelab, Marcus Rashford bukanlah seorang penyerang sebenar seperti mana yang direncanakan pasukan ketika ini.

Pemain antarabangsa England itu dilihat berada dalam prestasi terbaik sepanjang kariernya sejak pengendali kelahiran Belanda, Erik Ten Hag mengambil alih awal musim lalu.

Di samping berjaya menjaringkan 11 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kehadiran Rashford juga membantu The Red Devils menamatkan kemarau trofi mereka selepas menjulang Piala Liga Februari lalu.

Rembatannya di dalam kotak penalti pada minit ke-39 menewaskan penjaga gol Newcastle United, Loris Karius selepas terkena biasan pertahanan lawan.

Jadi, kehebatan yang dipamerkan penyerang tersebut pastinya cukup dihargai penyokong Manchester United selepas hampir tujuh tahun gagal menjulang sebarang piala.

Bagaimanapun, bagi Ferguson, Rashford bukanlah seorang yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyudah tunggal dalam skuad.

0_GettyImages-1247525166

Adakah Rashford lebih sesuai sekiranya beraksi sebagai pemain sayap? Agensi

"Saya tidak rasa bahawa dia adalah seorang penyerang. Ketika saya lihat cara permainannya, dia lebih hebat ketika beraksi sebagai pemain sayap kiri.

"Penyudahnya di hadapan pintu gol adalah cukup baik dan prestasinya juga sangat memberangsangkan ketika ini. Tetapi, dia terpaksa menggalas tanggungjawab mendapatkan jaringan yang mana sedikit membebankannya," kata Ferguson.

Ketika ini, Manchester United menggunakan khidmat pemain tinggi lampai, Wout Weghorst untuk diletakkan di posisi berkenaan, namun dia hanya menjaringkan satu gol dalam 12 penampilan.

Pulangan yang kurang memberangsangkan itu pastinya tidak menarik pihak pengurusan The Red Devils untuk membawanya masuk secara kekal, sekali gus bakal menyaksikannya pulang ke Besiktas pada jendela perpindahan akan datang.

Dalam masa sama, khabar angin menyatakan bahawa juara EPL 13 kali itu sedang cuba mendapatkan bintang Napoli, Victor Osimhen untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Penyerang kelahiran Nigeria itu dilaporkan terbuka untuk mencari pengalaman baharu meskipun sedang membantu kelabnya mengejar kejuaraan liga ketika ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram