KETUA Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez, mengakui pasukannya akan menentang pasukan terbaik Manchester United dalam perlawanan kedua pusingan kalah mati Liga Europa di Old Trafford.
Selepas meraih keputusan seri 2-2 dengan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam perlawanan di Camp Nou, Xavi percaya pasukannya perlu berada pada tahap terbaik mereka pada Khamis untuk mara ke pusingan 16 terakhir.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, kini Manchester United adalah salah satu pasukan terbaik di Eropah dan mereka menunjukkannya setiap perlawanan.
"(Pengurus Erik) Ten Hag melakukan kerja yang hebat. Mereka adalah pasukan yang menunjukkan intensiti, mentaliti, semangat, rentak... kami perlu memadankannya dalam setiap gaya permainan kami.
"Di atas segalanya, kami perlu membawa mentaliti terbaik untuk bersaing di Eropah. Kami boleh mengatakan bahawa Manchester United telah kembali dan mereka bermain bola sepak terbaik mereka dalam beberapa tahun ini. Ia adalah peluang yang baik untuk menunjukkan bahawa Barca juga boleh bersaing." kata Xavi pada sidang akhbar.
United tidak tewas dalam lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan berada di tempat ketiga dalam kedudukan Liga Perdana dengan 49 mata, lima di belakang pendahulu Arsenal.
Skuad The Red Devils adalah pasukan yang lebih baik untuk sebahagian besar perlawanan pertama dan mengawal tempo tetapi dinafikan oleh penjaga gol Marc-Andre ter Stegen yang mengekang pintu golnya daripada bolos lebih banyak.
Xavi akan beraksi tanpa Pedri dan Ousmane Dembele yang mengalami kecederaan manakala Gavi digantung.
"Kami datang ke sini dengan keinginan dan semangat untuk bersaing.
"Kami tidak sabar untuk menunjukkan versi terbaik kami pada hari Khamis walaupun ada pemain utama kami tiada. Kami semua tahu ia akan menjadi sukar tetapi kami mempunyai pasukan yang mampu mara ke pusingan seterusnya," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram