[VIDEO] Julang trofi pertama di Man United, Ten Hag ulangi 'tarian kejuaraan'


  • Podium
  • Isnin, 27 Feb 2023

Ten Hag (tengah) kelihatan gembira menyambut kemenangan bersejarah The Red Devils dalam perlawanan akhir Piala Liga 2023. — Agensi

AKHIRNYA, penyokong Manchester United mampu melakar senyuman apabila kemarau trofi yang dialami mereka sejak 2017 berakhir dengan kejayaan ke atas Newcastle United dalam Piala Liga 2023 pada Isnin.

Jaringan yang dihasilkan Casemiro dan gol sendiri daripada Sven Botman memastikan skuad The Red Devils menjulang kejuaraan pertama di bawah era pengurusan Erik Ten Hag.

Meskipun asakan demi asakan dibuat pasukan lawan, kualiti yang dimiliki Manchester United menyaksikan ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Wembley, England bergembira dengan keputusan itu.

Perasaan itu turut dikongsikan Ten Hag apabila pengurus kelahiran Belanda itu dilihat menari bersama dua pemainnya, Antony dan Lisandro Martinez.

Sambutan tersebut disaksikan selepas skuad The Red Devils menjulang trofi dengan ketiga-tiga mereka sempat berkongsi momen bersejarah itu.

Ten Hag sebelum ini juga pernah mencuri perhatian media antarabangsa apabila melakukan tarian yang sama ketika muncul juara liga Belanda, Eredivise.

Antony dan Martinez dibawa masuk ke Manchester United ketika jendela perpindahan musim panas lalu dari Ajax, yang mana juga merupakan kelab terakhir Ten Hag.

Sejak itu, kesemua mereka merupakan tonggak utama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 13 kali itu apabila kerap menjadi wira dalam membantu kebangkitan kelab gergasi England itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram