Gol kedua Man United aksi Piala Carabao milik Marcus Rashford


  • Podium
  • Isnin, 27 Feb 2023

Pertahanan Newcastle, Sven Botman (kiri) dikatakan tertampan bola ke gawang sendiri ketika final Piala Liga menentang Manchester United di Wembley. — Agensi

LIGA Bola Sepak Inggeris (EFL) mengiktiraf gol kedua Manchester United dalam aksi Piala Carabao 2022/23 menentang Newcastle United di Wembley, London, awal pagi Isnin sebagai jaringan Marcus Rashford.

Sebelum itu, skuad kendalian Erik ten Hag memperoleh gol kedua selepas hantaran pertahanan Newcasle, Wout Weghorst menemui Rashford, dan sepakannya terkena Sven Botman sebelum dikira sebagai gol sendiri.

Anak-anak buah Ten Hag terlebih dahulu berjaya memecah kebuntuan selepas sepakan percuma Luke Shaw disambut dengan tandukan cemerlang Casemiro.

Kurang 10 minit kemudian, Weghorst berjaya merampas penguasaan bola sebelum melakukan lorongan buat Rashford, yang melepaskan rembatan terkena Botman sebelum menembusi gawang yang dikawal penjaga gol, Loris Karius.

Gol itu pada mulanya dikreditkan sebagai gol sendiri Botman namun Rashford menegaskan ia adalah jaringannya.

Ketika ditanya oleh Sky Sports mengenai gol itu, Rashford sambil ketawa berkata, "Itu gol saya. Walaupun saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi gol tersebut adalah jaringan saya."

Memandangkan EFL mengesahkan gol itu merupakan jaringan Rashford, ia menjadikan jumlah gol yang dicetak pemain muda berusia 25 tahun itu sebanyak 25 gol untuk musim ini.

Rashford kini bergerak selangkah untuk menjadi pemain Manchester United pertama yang mencetak 30 gol dalam semua pertandingan sejak Robin van Persie melakukannya pada 2012/13. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram