[VIDEO] Kantoi lumba haram di lebuh raya DASH, dua mekanik dicekup


  • Tular
  • Selasa, 28 Feb 2023

Aksi perlumbaan tersebut sebelum itu tular di sosial media menerusi satu video berdurasi 56 saat yang diambil daripada CCTV di lokasi kejadian.

POLIS menahan dua mekanik dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Shah Alam, Selangor, pada Ahad.

Aksi perlumbaan tersebut sebelum itu tular di sosial media menerusi satu video berdurasi 56 saat yang diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati aktiviti itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi Ahad melibatkan enam kenderaan

Menurutnya, perlumbaan itu bermula dari Plaza Tol Denai Alam sehingga ke Kilometer(km) 0 (susur ke Pulau Angsa) Lebuh Raya DASH sebelum berpatah balik dengan melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 dan 29 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam.

"Kes disiasat d ibawah Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, turut dirampas semasa proses penahanan tersebut adalah dua kenderaan jenis Proton Satria digunakan suspek.

Mohd Iqbal berkata, polis masih lagi sedang berusaha mengesan empat lagi suspek dipercayai terlibat dalam perlumbaan tersebut.

Menerusi video tular tersebut, empat kenderaan dilihat memulakan perlumbaan berdekatan sebuah plaza tol sekitar Shah Alam.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram